Anda di sini

PICM sebuah lagi mercu tanda Miri

Advertisement

DITUNGGU-TUNGGU: Imej artis Permaisuri Imperial City Mall yang sudah mulai beroperasi.

Permaisuri Imperial City Mall akan dilancarkan prapembukaannya 17 Jan

MIRI: Permaisuri Imperial City Mall (PICM) Miri, kompleks beli-belah premium yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama akan dilancarkan prapembukaannya pada 17 Januari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Kumpulan Boulevard Don Yew Hoon berkata PICM setinggi tujuh tingkat dengan keluasan 300,000 kaki persegi itu mempunyai 112 lot kedai dan mampu menempatkan kira-kira 88 penyewa.

Beliau berkata, terletak di kawasan paling strategik iaitu di tengah pusat bandar raya, PICM mempunyai jambatan berhawa dingin yang menghubungkan kompleks beli-belah lama Imperial Mall.

“Setakat ini, sebanyak 70 peratus lot kedai atau 55 penyewa sudah mula beroperasi manakala selebihnya masih melakukan kerja-kerja akhir mengubah suai dan mengemas susun atur dalam premis.

“Kami menjangkakan lebih banyak premis dibuka pada 1 April iaitu sebanyak 88 peratus manakala 100 peratus pada 1 Jun melibatkan 79 penyewa,” katanya pada prapembukaan PICM di sini semalam.

Terletak di kawasan paling strategik di tengah-tengah pusat bandar raya, PICM turut mempunyai 1,100 lot parkir kereta.

Aras bawah menempatkan parkir kereta, outlet makanan dan minuman, butik antarabangsa dan butik penjagaan kulit.

Manakala aras satu, butik fesyen tempatan dan antarabangsa, produk penjagaan kesihatan dan kedai jam serta optik.

Manakala aras kedua butik pakaian dan kasut sukan, butik pakaian dalam wanita, butik Hello Kitty, kedai kosmetik dan pewangi, kedai buku serta kedai telefon dan gajet.

“Manakala tingkat tiga ialah Panggung Wayang TGV yang mempunyai lapan panggung dilengkapi kemudahan 3 Dimensi (3D), Beaniplex, arked permainan, Kbox dan tempat permainan untuk kanak-kanak,” kata Don.

Manakala aras empat hingga enam menempatkan hotel butik empat bintang.

Antara jenama terkemuka antarabangsa yang julung kali dibuka di sini ialah butik fesyen  Mango, Guess Accessories, Esprit dan Padini.

Pembukaan rasmi dijangka diadakan pada April depan.

Advertisement