Anda di sini

Penjenayah bersenjatakan pistol lari, rakan ditangkap

Advertisement

SIASAT: Polis sedang melakukan siasatan di tempat kejadian.

BUKTI: Kelopak peluru yang dijumpa di lokasi jenayah.

PADAH: Suspek menerima pengadilan daripada orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Polis melakukan rondaan terserempak dengan mereka pecah tingkap Hilux di Jalan Jambatan Gantung, Satok

KUCHING: Seorang lelaki bersenjatakan pistol melarikan diri manakala seorang rakannya berjaya ditangkap polis selepas memecah tingkap Toyota Hilux di Jalan Jambatan Gantung, Satok di sini, semalam.

Dalam insiden sekitar 11 pagi itu, polis Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sedang menjalankan rondaan di kawasan itu apabila terserempak dengan dua lelaki berkenaan yang sedang memecahkan cermin belakang pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad, suspek melarikan diri menggunakan sebuah motosikal yang dicuri dari sebuah rumah berhampiran.

“Berlaku kejar-mengejar dan pergelutan dengan salah seorang suspek yang berjaya ditangkap.

“Manakala seorang lagi telah mengeluarkan pistol dan pada masa yang sama dua kelopak peluru terjatuh atas jalan,” katanya yang mengesahkan kejadian.

Suspek yang ditangkap akan ditahan reman dan siasatan diteruskan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching DSP Lim Bak Phai turut berada di tempat kejadian bersama Unit Forensik IPK Negeri bagi menjalankan siasatan.

Operasi mengesan suspek turut diadakan dengan menggunakan khidmat anjing pengesan daripada Unit K9 IPK Sarawak.

Difahamkan, polis turut ke rumah suspek yang berjaya melarikan diri itu di Kampung Tupong dan menjumpai sebuah motosikal, disyaki dicuri.

Sementara itu, menurut pemilik Hilux berkenaan yang enggan identitinya didedahkan, kejadian itu hanya disedarinya setelah mendengar bunyi bising dari pejabatnya, dan bergegas turun ke bawah.

Lelaki dalam lingkungan usia 40-an itu menambah, tidak ada barang berharga dilarikan, melainkan beg sekolah milik anaknya.

Dia bagaimanapun, enggan mengulas lanjut.

Advertisement