Anda di sini

Penduduk bantah tanah mereka dijadikan tapak kuari

Advertisement

TANAH KAMI: Khairunisa menunjukkan laporan polis.

KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Kesindu yang merupakan antara pemilik tanah di Bukit Jangkang, Sebuyau mengadakan bantahan di pejabat Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Kota Samarahan di sini atas tindakan lima syarikat kuari yang memohon menjadikan tanah berkenaan sebagai tapak kuari.

Syarikat-syarikat berkenaan memohon untuk menjalankan operasi kuari termasuk projek penanaman kelapa sawit di tanah seluas 489 hektar yang kini dalam proses permohonan di JTS Kota Samarahan tanpa mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah.

Jurucakap bagi kira-kira 50 penduduk kampung terjejas itu, Nur Khairunisa Abdullah berkata, penduduk kampung tidak mengetahui tanah mereka menjadi sasaran lokasi kuari dan tanaman kelapa sawit oleh tiga syarikat berkenaan.

Malah, Khairunisa men-dakwa terdapat surat kebenaran palsu yang mempunyai tandatangan penduduk terjejas (pemilik tanah) turut dikepilkan bersama surat permohonan daripada syarikat berkenaan yang kini sedang dalam proses oleh JTS Kota Samarahan.

Sehubungan itu, beliau bersama penduduk kampung terlibat turut membuat laporan polis di Balai Polis Sebuyau berhubung perkara tersebut pada 28 Oktober 2013 kerana bimbang tanah milik mereka diambil tanpa kebenaran.

“Kami hanya mengetahui perkara ini pada sesi dialog bersama Pejabat Daerah Sebuyau pada Oktober tahun lalu di mana nama-nama kami yang merupakan pemilik tanah dikatakan memberi kebenaran untuk syarikat itu menjalankan operasi kuari di tanah tersebut.

“Namun kami tidak pernah menandatangani apa-apa surat atau memberi kebenaran kepada mana-mana syarikat untuk menjalankan kuari di tanah kami,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan bantahan di JTS Kota Samarahan semalam.

Malah, Khairunisa berkata keraguan terhadap surat palsu yang mempunyai tandatangan penduduk terjejas amat jelas apabila nama seorang penduduk yang sudah meninggal dunia turut tersenarai.

“Dia sudah meninggal bagaimana dia boleh memberi tandatangan kebenaran dalam surat senarai penerima sagu hati daripada syarikat berkenaan dalam surat palsu itu,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau yang juga antara pemilik tanah terjejas mempersoalkan mengapa JTS Kota Samarahan masih lagi mahu memproses permohonan syarikat-syarikat itu sedangkan laporan polis telah dibuat dan pemilik-pemilik tanah tidak bersetuju.

Justeru, beliau mewakili penduduk yang terjejas menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap perkara itu dengan segera.

“Laporan polis telah dibuat tetapi mengapa masalah ini masih berlarutan sehingga sekarang,” katanya.

Khairunisa berkata, sekiranya kelulusan diberikan untuk syarikat-syarikat berkenaan menjalankan operasi kuari ia pasti memberi kesan pencemaran yang buruk di kawasan itu.

Namun menurutnya, penduduk yang merupakan pemilik tanah di situ hanya mengalu-alukan projek pembangunan seperti klinik, sekolah dan jalan.

“Kalau projek untuk memberi prasarana kepada penduduk ia tidak menjadi masalah tetapi bukan untuk kuari,” ujarnya.

Sementara itu, Jurucakap Pegawai Penguat Kuasa JTS Kota Samarahan Jeman Bujang meminta penduduk yang terlibat membuat surat bantahan kepada jabatan itu untuk dikepilkan bersama surat permohonan syarikat berkenaan.

“Kami di sini tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan syarikat ini kerana ia di luar bidang kuasa kami dan keputusan kelulusan ini terletak di peringkat atasan (Ibu Pejabat Jabatan Tanah dan Survei Negeri serta menteri bertanggungjawab),” tegasnya.

Beliau menjelaskan, terdapat lima syarikat yang berminat dan telah memohon untuk menjadikan tanah itu sebagai kuari tetapi ia masih dalam proses.

Advertisement