Anda di sini

Lima lelaki Pakistan didakwa menculik lelaki tempatan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lima lelaki warganegara Pakistan semalam didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menculik seorang lelaki tempatan dengan tujuan menuntut wang tebusan RM5,000 pada November lepas.

Shammas Khan, 43, Malik Muhamad Najam, 42, Mian Altamash Ahmed Khan, 32, Muhammad Sufyan, 30, dan Hameed Khan, 33, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majisret Erry Shahriman Nor Aripin.

Bagaimanapun, tiada pe-ngakuan direkodkan dari-pada kesemua tertuduh.

Mahkamah kemudian me-netapkan 13 Mac akan datang untuk sebutan semula kes bagi membolehkan kesemua tertuduh melantik peguam.

Mereka didakwa menculik mangsa, yang juga pesara berusia 47 tahun, di Cheria Height Apartment, Taman Bukit Cheras, di sini antara jam 8 malam 16 November 2013 dan 5 pagi 18 November 2013.

Kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Di Mahkamah Sesyen di sini pula, Shammas Khan turut didakwa cuba melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama pada 8 malam, 16 November lepas di tempat sama.

Shammas yang bekerja sebagai buruh, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan dibaca bersama mengikut Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Hakim Emelia Kaswaty Mohammad Khalid menetapkan 13 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement