Anda di sini

Lawatan motivasi Ngap Sayot

Advertisement

SANTAI: Pasukan bola sepak Sarawak bersama pegawai SFC pada lawatan ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh semalam.

Sebagai langkah merancang strategi, hala tuju pasukan harungi saingan Liga Super 2014

KUCHING: Pasukan bola sepak Sarawak melakukan lawatan motivasi selama dua hari ke beberapa lokasi menarik luar bandar sebagai langkah untuk merancang strategi dan hala tuju pasukan itu bagi mengharungi saingan Liga Super yang akan bermula pada 18 Januari ini.

Justeru, program motivasi itu dimulakan semalam dengan lawatan ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh sebelum bertolak untuk berakit di sungai Kampung Semadang dan ke Borneo Highland Resort (BHR).

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata tujuan lawatan itu dalah mempersiap diri pemain-pemain menjelang perlawanan pertama saingan Liga Super 2014 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Selayang, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Katanya, kesedaran untuk memelihara dan memulihara itu perlu kita sebarkan kerana ia adalah sangat baik untuk para pemain, selain sebagai sebahagian daripada aktiviti dalam program motivasi ini.

“Ini adalah bagi memastikan agar alam semula jadi kita sentiasa dipelihara bukan untuk sehari dua sahaja tetapi pada setiap hari.

“Jadi perlu untuk kita mendedahkan pemain-pemain agar mereka tahu akan program pemeliharaan ini sebelum bermulanya tekanan demi tekanan yang bakal mereka hadapi pada liga musim baharu ini,” katanya ditemui di sini semalam.

Rombongan pasukan bola sepak Sarawak serta barisan exco Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) turut mendengar taklimat ringkas berkaitan pusat hidupan liar yang terdapat di Sarawak.

Alberts berkata, sekiranya para pemain berkumpul dan datang bersama melakukan sesuatu yang lain, berfikiran dengan cara lain mereka pasti akan mempelajari perkara baharu selain membuat persediaan untuk menghadapi pertandingan musim baharu.

Antara pemain Sarawak yang menyertai lawatan itu ialah Mohamad Fadzley Abdul Rahim (Kuala Lumpur), Ronny Harun, Mazwandi Zekeria, Mafry Balang, Milorad Janjus (Serbia) , Mohd Lot Abu Hassan (Selangor), Zamri Morshidi, Reeshafiq Alwi (Selangor), Mohamad Rashid Mohamed Aya (Johor), Muamer Salibasic (Bosnia) , Ashri Chuchu, Rames Lai Ban Huat.

Selain Mohammad Dzulazlan Ibrahim, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Kedah), Putera Nadher Amarhan Maderner, Aidil Mohamad, Joseph Kalang Tie, Alireza Abbasfard (Iran), Azizan Saperi, Sani Anuar Kamsani, Chanthuru Suppiah (Perak), Dalgish Papin Test, Muhammad Dzulfadli Awang Marajeh dan Gabor Gyepes (Hungary).

“Kami akan berbincang malam nanti (semalam) ketika berkumpul di atas gunung BHR dengan melihat apa yang kita mahukan tahun ini dengan memfokuskan apa yang telah dicapai tahun lalu.

“Kami juga akan berkayak dengan menusuri jeram dan pastinya lebih menarik dan menyeronokkan,” katanya.

Pada masa yang sama, kapten pasukan, Mohd Shahrol Saperi sudah menjalani pembedahan akibat kecederaan di tulang bahagian kaki semalam.

Beliau berkata, ini adalah penting untuk pemain-pemain bola sepak menyokong kepada pembangunan komuniti dan ia harus dilaksanakan di seluruh negara dan ke peringkat global.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman turut memberi penghargaan kepada peminat- peminat dan penyokong setia pasukan bola sepak negeri yang menyokong mereka selama ini.

Sudarsono juga mengumumkan setiap pemain menaja seekor orang utan yang diminati mereka dengan wang tajaan berjumlah RM6,400 semalam.

Advertisement