Anda di sini

Kes saman RM2 juta pegawai kanan tentera terhadap Raja Petra selesai

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kes saman RM2 juta yang difailkan dua pegawai kanan tentera terhadap penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin berhubung  akuan bersumpah penulis blog itu yang me-ngaitkan nama mereka dengan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu semalam selesai.

Peguam Jadadish Chandra yang mewakili Raja Petra memberitahu media bahawa saman itu selesai setelah kedua-dua plaintif menarik balik saman terhadap anak guamnya tanpa perintah berhubung kos.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam me-rekodkan penyelesaian itu dalam kamarnya.

Dalam saman difailkan pada 22 Julai 2008, Leftenan Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya Leftenan Kolonel Norhayati Hassan mendakwa Raja Petra membuat akuan yang mengandungi tuduhan terhadap mereka dan juga isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembunuhan itu, dengan niat buruk dan jahat untuk mencemarkan maruah, kredibiliti, nama baik dan kerjaya mereka.

Mereka berkata tuduhan itu dibuat secara cuai dan tanpa mengesahkan sama ada tuduhan itu betul atau salah, oleh itu telah mencemarkan nama baik dan maruah mereka.

Pasangan itu, masing-ma-sing memohon ganti rugi RM1 juta daripada Raja Petra serta ganti rugi teladan dan injunksi untuk menghalangnya atau kakitangannya daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu.

Raja Petra yang mengendalikan blog Malaysia Today, membuat akuan bersumpah itu pada 18 Jun 2008 dan menyiarkannya dalam blog-nya dan laman web lain, semasa perbicaraan kes bunuh Altantuya sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam. — Bernama

Advertisement