Anda di sini

Kes keganasan dipandang serius

Advertisement

UNTUK DIEDAR: Mawan menyerahkan poster/ risalah OSCC kepada seorang ketua masyarakat di Kuching, semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

S’wak turut rekod peningkatan kes keganasan rumah tangga, rogol, penderaan, buang bayi

KUCHING: Sarawak tidak terkecuali dalam merekodkan peningkatan kes keganasan di negara ini sama ada keganasan rumah tangga, rogol, penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi dan sebagainya.

Justeru, Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan berkata kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak pasti bagaimana untuk mengaitkan atau apakah sebab di sebalik semua ini tetapi mungkin ia adalah kerana beberapa keadaan seperti tekanan hidup, tekanan kerja atau faktor lain yang akan mempengaruhi tekanan sosial dan keluarga,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap menyempurnakan Pelancaran Rasmi Poster/Risalah Pusat Krisis Setempat (OSCC) di sini, semalam.

Menurut Mawan, perban-dingan statistik keganasan di negeri ini bagi tahun 2011 dan 2012 juga amat membimbangkan terutama bagi kes keganasan rumah tangga, rogol dan pembuangan bayi.

Katanya keganasan rumah tangga merekodkan peningkatan ketara iaitu daripada 249 kes pada 2011 kepada 282 kes pada 2012 sementara rogol meningkat daripada 151 kes pada 2011 kepada 164 kes pada 2012 dan pembuangan bayi daripada lima kes pada 2011 kepada lapan kes pada 2012.

Tambah beliau, penderaan seksual turut merekodkan     kes yang tinggi iaitu 241 kes pada 2011 dan 159 kes pada 2012.

Justeru, Mawan menegas-kan bahawa kerjasama antara agensi kerajaan berkaitan dan NGO amat diperlukan dalam bersama-sama memainkan peranan membantu golongan tersebut.

“Kerajaan amat memerlukan sistem sokongan seperti ini agar penderitaan mereka yang tidak bernasib baik akan dapat dikurangkan.

“Setiap daripada kita harus tampil ke hadapan menghulurkan bantuan walaupun tanpa memformalkannya agar ia menjadi teladan yang baik kepada generasi muda kita,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi OSCC Datuk Lily Yong berkata pihaknya telah mencetak lebih 50,000 poster dan risalah menerusi empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Iban untuk diedarkan di seluruh pelosok negeri ini.

Selain itu, katanya poster dan risalah tersebut juga akan diletakkan di klinik-klinik.

“Risalah ini akan memberi maklumat yang sangat jelas bagi mewujudkan kesedaran kepada orang ramai,” katanya.

Justeru, beliau menyaran-kan orang ramai agar lebih sedar mengenai kesan keganasan kepada masyarakat.

“Misalnya kes rogol statutori didapati amat buruk sekarang di mana demi menjaga air muka, ibu bapa sanggup mengahwinkan anak yang masih di bawah umur.

“Ini sebenarnya tidak menyelesaikan masalah sebaliknya membantu perogol bebas daripada tindakan undang-undang.

“Maka, mencadangkan perkahwinan adalah bukan penyelesaiannya…r ogol tetap rogol dan pesalah harus dikenakan hukuman,” katanya.

OSCC berperanan mem-beri perlindungan yang selamat, selesa dan suasana yang membantu mangsa kegana-san rumah tangga, mereka yang lemah dan mangsa rogol.

Ia turut memberi rawatan perubatan selain berfungsi sebagai pusat koordinasi antara agensi yang memberi bantuan, melindungi mangsa daripada trauma yang berlanjutan apabila dirujuk daripada agensi ke agensi.

OSCC boleh dihubungi menerusi Jabatan Kecemasan dan Trauma di mana-mana hospital di seluruh negeri ini.

Advertisement