Anda di sini

JPA kumpul maklum balas kajian semula 100 skim perkhidmatan awam

Advertisement

ERATKAN HUBUNGAN: Mohamad Zabidi bersalaman dengan Azih ketika menerima kunjungan hormat barisan anggota Majlis Tertinggi CUEPACS sesi 2013-2016 di ibu pejabat Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan bagi kajian semula 100 skim perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata kajian penambahbaikan skim itu meliputi kumpulan penguatkuasa dan perkeranian dalam penyelarasan tangga gaji, syarat kemasukan dan juga kebajikan.

“Ini (kajian semula skim) masih dalam proses rundingan. Kami sedang membuat perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), kesatuan dan persatuan sekerja lain.

“Saya berharap mereka yang terlibat bersabar agar kajian semula skim perkhidmatan awam ini dapat dilaksanakan dengan cara terbaik,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat barisan anggota Majlis Tertinggi CUEPACS sesi 2013-2016 yang diketuai Presiden Azih Muda di sini semalam.

Dalam ucapan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan bagi menarik dan mengekalkan modal insan terbaik dalam perkhidmatan awam, selain memantapkan fungsi perkhidmatan, menambah baik laluan kerjaya serta mobiliti pegawai awam.

Penambahbaikan 81 skim itu melibatkan 613,743 penyandang dengan peruntukan tambahan RM31 juta setahun.

Berikutan pindaan 81 skim perkhidmatan ini, kerajaan mengurangkan bilangan skim perkhidmatan yang sedia ada daripada 274 kepada 249 pada 1 Jan tahun ini yang merangkumi 1.4 juta penjawat awam.

Mengenai perjumpaan JPA dan CUEPACS semalam, Mohamad Zabidi berkata pertemuan itu dapat mengeratkan hubungan dan jalinan kerjasama dalam memacu jentera perkhidmatan awam yang lebih mampan dan berdaya maju ke arah memenuhi agenda transformasi negara.

“Dalam pertemuan strategik ini, kami telah berjanji bersama melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan juga menambah baik perkhidmatan-perkhidmatan awam untuk memastikan sistem penyampaian kerajaan lebih baik dengan adanya jalinan kerjasama antara JPA dan CUEPACS.

“Selain itu, JPA dan CUEPACS akan turun padang membantu kerajaan untuk menerangkan isu-isu dihadapi kerajaan pada hari ini khususnya dari segi kenaikan harga barang dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu Azih menyarankan penjawat awam yang belum terlibat dalam kajian penambahbaikan itu agar tidak panik dan tidak terlalu beremosi kerana proses itu dilakukan kerajaan secara berperingkat.

“Perkara ini sedang dilakukan JPA. Harap bersabar dan tidak terlalu beremosi. Kaedah perundingan dengan kerajaan adalah cara terbaik dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya. — Bernama

Advertisement