Anda di sini

Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak dianggap antara jabatan terbaik di Malaysia

Advertisement

TANDA KENANGAN: Poziah menerima cenderamata sebuah potret beliau sendiri bersama beberapa yang lain daripada Zaini. — Gambar PENERANGAN

KUCHING: Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak dianggap antara jabatan terbaik di Malaysia dalam aspek pencapaian dan sistem penyampaiannya.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Penerangan Datuk Poziah Abdul Rahman pada Majlis Makan Malam Perpisahan di sini malam Sabtu lepas.

Poziah yang bakal bersara wajib dalam ucapannya berkata pegawai serta kakitangan KPM Sarawak telah melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang meskipun pada saat-saat akhir.

Beliau menambah, bekerja bersama kakitangan JPM Sarawak sentiasa memberi keseronokan kepadanya dan sebab itu beliau sering datang ke Sarawak setiap kali berpeluang.

“Ini adalah budaya kecemerlangan yang amat dihargai oleh pihak atasan, kerana kakitangan tempatan sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dan memfokus kepada usaha melaksanakan sesuatu tugas yang diberikan,” ujarnya.

Poziah akan bersara pada 15 Januari ini selepas berkhidmat selama 36 tahun dan memberitahu Sarawak akan tetap dalam hatinya.

Sehubungan itu, beliau meminta kakitangan JPM Sarawak mengekalkan kecemerlangan dalam sebarang tugas diamanahkan.

Terdahulu, Timbalan Pengarah JPM Sarawak  Zaini Mohamad memberi penghormatan kepada Poziah kerana sentiasa memberi sokongan kepada kakitangan Sarawak.

“Datuk seperti ibu kepada kami, yang sentiasa meluangkan masa untuk mendengar masalah dan membantu menyelesaikannya secara profesional,” katanya.

Menurut beliau, Poziah mempunyai pengalaman yang sangat luas sebagai pegawai kanan jabatan itu, terutama dalam perhubungan awam selain di lapangan.

Advertisement