Anda di sini

Fleksibel, peka hidu peluang kunci kejayaan Melanau: KM

Advertisement

TRADISI: Taib ditemani tetamu kehormat lain melihat ‘terandak gergasi’ pada Majlis Makan Malam ‘Sumbangan YAB Pehin Sri Mewarnai Inspirasi Kami’ di BCCK kelmarin. — Gambar oleh Muhammad Rais Senusi

Semangat tidak kenal erti mengalah bantu mereka tingkat taraf hidup dan menyumbang kepada ekonomi negeri

KUCHING: Kejayaan masyarakat Melanau masa kini hasil sikap fleksibel dan peka menghidu peluang menjadikan komuniti itu berjaya membangun serta menyumbang kepada ekonomi Sarawak.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, semangat masyarakat Melanau yang tidak pernah kenal erti mengalah membantu golongan itu meningkatkan taraf hidup sekali gus menyumbang kepada ekonomi negeri ini.

Beliau memberitahu, pendapatan perkapita rakyat di negeri ini meningkat 10 kali ganda berbanding 30 tahun lalu.

“Masyarakat Melanau mempunyai sifat fleksibel, saya melihat dua kekuatan dalam diri setiap masyarakat Melanau iaitu yang pertama mahu bekerja kuat memberi sumbangan kepada kemajuan negeri dan yang kedua tidak kekok untuk bekerjasama dengan kaum-kaum lain dalam menyumbang kepada pembangunan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Makan Malam ‘Sumbangan YAB Pehin Sri Mewarnai Inspirasi Kami’ anjuran Persatuan Melanau Kuching (PMK) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam kelmarin.

“Prinsip inilah yang menjadikan masyarakat Melanau berjaya mempelopori satu bentuk perjuangan yang seiring dengan masyarakat lain dalam meningkatkan taraf hidup khasnya anak-anak muda mereka,” tambah Taib.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Presiden Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak Dato Sri Dr Muhammad Leo Toyad, Presiden PMK Datuk Aidan Wong dan tetamu kehormat lain.

Pada masa sama, Taib turut memuji sikap masyarakat Melanau yang tidak takut untuk bersaing dan mampu bekerjasama baik dengan kaum lain di negeri ini.

“Inilah kekuatan yang kadangkala boleh disifatkan lebih baik daripada mempunyai kuasa sebagai majoriti, lebih menarik di Sarawak ini, semua kaum minoriti sudah tahu berjuang dan berganding tenaga bekerjsama dengan kaum-kaum lain,” katanya.

Terdahulu, Aidan dalam ucapannya melahirkan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi masyarakat Melanau kepada pentadbiran Taib.

“Anda boleh yakin dengan sokongan kuat kami dan anda boleh bergantung kepada kami untuk melindungi demokrasi Sarawak daripada diganggu unsur tidak dingini.

“Kita mahu Sarawak menjadi negeri contoh, walaupun kita pelbagai namun kita dapat tinggal bersama di bawah satu bumbung dengan aman dan sayang menyayangi,” ujarnya.

Advertisement