Anda di sini

Bekas pegawai penerangan didakwa kemuka lima tuntutan palsu

Advertisement

JOHOR BAHARU: Bekas pegawai penerangan daerah Ledang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Penerangan Negeri Johor berhubung penyediaan perkhidmatan makanan dan minuman bernilai RM6,500, lima tahun lepas.

Zaid Md Amin, 60, yang bersara pada 2 Januari lepas, memohon dibicarakan selepas kelima-lima pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Bagi tuduhan pertama, Zaid didakwa dengan niat memperdayakan Jabatan Penerangan Negeri Johor menerusi satu dokumen pesanan kerajaan yang mengandungi butiran palsu, yang sebenarnya tidak dilaksanakan, iaitu perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman Program Pemimpin Bersama Rakyat di Komuniti Bestari Kampung Lerek Anjung, Ledang pada 9 Mei 2009, yang berjumlah RM500.

Bagi tuduhan kedua hingga empat, dia didakwa dengan niat sama menerusi dokumen kerajaan bagi penyediaan perkhidmatan dan program yang sama di Kampung Durian Chondong, Kampung Parit Ghani dan Kampung Serom 3, Ledang pada 10, 15 dan 16 Mei 2009, yang masing-masing berjumlah RM500.

Bagi tuduhan kelima, Zaid didakwa dengan niat sama menerusi dokumen kerajaan bagi penyediaan perkhidmatan dan program sama di Dewan Serba Guna Bukit Gambir pada 31 Julai 2009, yang berjumlah RM4,500.

Dia didakwa melakukan empat pertuduhan itu di Pejabat Daerah Ledang, pada 18 Mei 2009 manakala pertuduhan kelima didakwa dilakukan di pejabat sama pada 4 Ogos 2009.

Zaid dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noorfazlin Hamdan menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Peguam A.Ashok kemudian memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya itu baharu bersara selepas berkhidmat selama 35 tahun, perlu menanggung seorang isteri, dua anak yang sedang belajar dan seorang ibu mentua yang uzur. — Bernama

Advertisement