Anda di sini

Bangunan Pejabat Pos Besar Kuching masih dimiliki Pos Malaysia: Morzanah

Advertisement

KUCHING: Bangunan Pejabat Pos Besar Kuching telah diwartakan sebagai bangunan bersejarah di bawah Ordinan Warisan Budaya Sarawak yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Muzium Sarawak.

Susulan itu, rundingan sedang dijalankan antara Jabatan Muzim Sarawak dan pihak Pos Malaysia bagi membenarkan kerajaan negeri mengambil alih bangunan bersejarah tersebut.

Bagaimanapun menurut Kurator Seksyen Penguat Kuasa, Jabatan Muzium Sarawak Dayang Morzanah Awang Haddy, sehingga kini belum ada sebarang keputusan dicapai antara kedua-dua pihak dan pihaknya akan mencari masa yang sesuai bagi mengadakan rundingan terperinci.

“Kami sebenarnya masih belum pasti mengenai rancangan sebenar kerajaan terhadap bangunan ini  tetapi Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon telah meminta pihak kami untuk berunding dengan Pos Malaysia.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini belum ada sebarang keputusan dicapai antara jabatan dan Pos Malaysia kerana sesi perbincangan yang diatur seringkali bertembung dengan jadual kedua-dua pihak,” katanya.

Dayang Morzanah berkata demikian ketika dihubungi semalam bagi mengulas mengenai status bangunan Pejabat Pos Besar Kuching berhampiran Plaza Merdeka di sini.

Mengulas mengenai bangunan tersebut, Dayang Morzanah berkata meskipun ia telah diwartakan sebagai bangunan bersejarah namun ia masih milik Pos Malaysia dan beroperasi sebagai pejabat pos kecil.

“Buat masa ini, bangunan tersebut masih lagi di bawah Pos Malaysia dan beroperasi sebagai pejabat pos kecil cumanya status bangunannya telah diwartakan sebagai bangunan bersejarah.

“Kami masih lagi mencari masa yang sesuai untuk mengadakan rundingan dan berharap ia akan berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan oleh kerajaan negeri,” ujarnya.

Dibina pada 1931, bangunan itu merupakan antara pusaka peninggalan Raja Putih sepanjang pemerintahan keluarga Brooke dari 1841 hingga 1941.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sebelum ini bercadang berbincang dengan pihak Pos Malaysia untuk membenarkan kerajaan negeri mengambil alih bangunan tersebut kerana ia merupakan salah sebuah bangunan bersejarah.

Advertisement