Anda di sini

607 keluarga mangsa banjir terima barangan keperluan rumah di Kemaman

Advertisement

KEMAMAN: Kegembiraan terpancar di wajah mangsa banjir di Kampung Pengkalan Pandan di sini semalam  ketika mendapat barangan keperluan rumah daripada Kelab Putera 1Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ekoran bencana banjir awal Disember lepas.

Tinjauan Bernama ke bilik gerakan kampung itu mendapati penduduk tidak putus-putus datang untuk mendapatkan barangan rumah mereka seawal jam 7.30 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pengkalan Pandan Mohd Satti Said berkata sebanyak 607 set barangan iaitu televisyen, dapur gas, peti sejuk dan tilam mula diagih sejak jam 4.30 petang kelmarin.

“Dengan bantuan 100 sukarelawan, Alhamdulillah pengagihan barangan berjalan lancar sehingga jam 12 malam semalam (kelmarin) dan saya jangka bantuan fasa pertama ini akan habis diagihkan menjelang 12 tengah malam ini (semalam).

“Sehingga kini, penduduk datang memunggah sendiri barangan tersebut menggunakan lori, van dan bagi yang tiada kenderaan, mereka meminta pertolongan jiran dan saudara-mara mereka untuk menghantar barangan ke rumah,” katanya kepada Bernama.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu turut ‘berkampung’ di kampung itu untuk menyerahkan sumbangan wang tunai RM500 daripada kerajaan persekutuan.

Pasangan warga emas, Halifah Said, 68, dan suaminya Mat Nor Sulong, 74, menerima barangan keperluan itu yang dihantar jiran-jiran terdekat ke rumah mereka berikutan mereka tidak mampu mengambilnya sendiri akibat masalah kesihatan.

“Tok minta jiran yang tolong pasangkan barang-barang elektrik ini sebab Tok tak berapa pandai nak buat sendiri.

“Terima kasihlah banyak-banyak kepada kerajaan sebab bagi sumbangan ini.

Maklumlah kami suami isteri dah tua, harap sumbangan anak sahaja setiap bulan… manalah mampu nak beli semua ini dengan duit sendiri,” katanya yang sedih kerana semua barangan rumah musnah akibat dinaiki air setinggi empat meter.

Peniaga satar, Fauziah Mat Soh, 39, berkata bantuan itu sangat ditunggu-tunggu mereka sekeluarga kerana semua barangan elektrik di rumahnya ditenggelami air selama sembilan hari.

“Seronoknya hati Allah sahaja yang tahu kerana saya ada dua anak yang masih kecil iaitu Muhammad Izzat, 3, dan Mohd Aqil Danish yang berusia empat bulan yang sangat memerlukan tilam.

“Selain itu, saya juga bersyukur sangat kerana empat lagi anak yang masih bersekolah turut menerima bantuan pakaian sekolah dan beg,” katanya yang kerugian hampir RM15,000 setelah peralatan dan bahan mentah membuat satar rosak akibat banjir.

Bagi Nasir Omar, 52, pula pendapatannya yang hanya membuat kerja-kerja kampung untuk menyara hidup menjadikan impian membeli barangan seperti televisyen dan peti sejuk selepas banjir kelihatan agak mustahil.

“Manalah saya mampu nak beli semua barangan ini… harganya pun mahal.

Terima kasih kepada kerajaan atas sumbangan ini untuk kami yang menjadi mangsa banjir,” katanya yang mahu membelanjakan RM500 sumbangan kerajaan pusat untuk membeli barangan dapur.

Semua barangan itu dijangka habis diagihkan secara berperingkat sehingga April ini.

Sebanyak 19,205 keluarga di Terengganu menerima bantuan banjir daripada Kelab Putera 1Malaysia dan SKMM dan daripada jumlah itu kira-kira 14,000 adalah mangsa banjir di daerah Kemaman. — Bernama

Advertisement