Anda di sini

Tiga sekeluarga terselamat, rumah dihanyut arus deras

Advertisement

HANYUT: Yaakub Abdullah, 64, menunjukkan keadaan rumahnya yang dihanyutkan arus banjir yang deras di Kampung Renat, Bukit Bunga, di Tahanh Merah, semalam. — Gambar Bernama

TANAH MERAH: Tiga sekeluarga hampir maut apabila rumah mereka di Kampung Renat, Bukit Bunga di sini dihanyut arus deras Sungai Golok di Jenob ketika kawasan itu mula dilanda banjir kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Yaakub Abdullah, 64, anak perempuannya, Huwainun (orang kurang upaya), 20, dan anak lelaki, Mohd Azwan, 18, berjaya menyelamatkan diri menggunakan perahu.

Yaakub berkata beliau menyedari keadaan bahaya itu apabila rumah papan yang didiami bersama isteri dan tiga anak mereka dirasakan seolah-olah menggelongsor mengikut arus Sungai Golok, kira-kira tiga meter dari kediaman mereka.

“Ketika kejadian, saya berada di rumah bersama dua anak untuk menyelamatkan pelbagai barangan manakala isteri dan seorang lagi anak kami telah ke pusat pemindahan banjir kira-kira satu kilometer dari rumah kami.

“Bagaimanapun, hujan sejak 4 pagi semalam menyebabkan air naik dengan mendadak dan arus sungai bertambah deras sehingga menyebabkan rumah saya hanyut,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian semalam.

“Menyedari rumah saya mula dihanyutkan, saya memanggil kedua-dua anak dan menyelamatkan diri menggunakan perahu yang ditambat berdekatan rumah.

“Saya bersyukur kerana cepat bertindak menyelamatkan diri dan pergerakan rumah dihalang beberapa pokok. Jika tidak, mungkin kami telah dihanyutkan ke Sungai Golok,” katanya.

Yaakub, seorang penoreh getah, juga berkata sejak menetap di kampung berkenaan kira-kira 16 tahun lepas, beliau sering berdepan situasi banjir kerana tinggal di kawasan rendah dan berdekatan sungai.

“Namun inilah kali pertama saya berdepan kejadian rumah dihanyutkan arus sungai yang deras,” katanya.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, yang meninjau keadaan banjir sekitar Tanah Merah semalam, turut menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada Yaakub. — Bernama

Advertisement