Anda di sini

Syarikat pemaju di Miri kekurangan buruh

Advertisement

TAHNIAH: Lai (tiga kiri) bergambar bersama empat pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam PMR dan SPM tahun lalu, yang menerima hadiah insentif daripada persatuan.

Pihak berkuasa perlu campur tangan sebelum ia jejas perniagaan, bantut pembangunan

MIRI: Syarikat-syarikat pemaju tempatan di sini mulai berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga buruh kasar dalam bidang pembinaan dan jika tidak diselesaikan dengan segera keadaan tersebut akan menjadi lebih serius.

Sehubungan itu Persatuan Pemaju-pemaju Miri meminta pihak berkuasa berkaitan supaya campur tangan untuk membantu mereka sebelum ia boleh menjejaskan perniagaan mereka dan membantutkan usaha pembangunan yang dirancang.

Presidennya Lai Zhi Pun memberitahu, masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor pembinaan telah berlaku beberapa kali dan lama sebelum ini, sekali gus menjadi faktor yang menyumbang kepada beberapa projek pembinaan terbengkalai di sini.

“Sehubungan itu, kami menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya membantu para pemaju tempatan di sini bagi menyelesaikan masalah tersebut sebelum keadaan bertambah buruk.

“Selain projek-projek yang terbengkalai, masalah lain yang turut timbul ekoran masalah tersebut ialah pihak pemaju tidak dapat menyelesaikan projek mereka mengikut masa dan jadual yang ditetapkan,” tambahnya.

Lai mendedahkan perkara tersebut semasa Majlis Makan Malam Ke-39 persatuan itu yang diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan 2014, yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Menurut Lai lagi, Persatuan Pemaju Sarawak telah menghantar surat mereka kepada jabatan kerajaan berkaitan, supaya melonggarkan beberapa syarat untuk menggaji pekerja warga asing dan membenarkan pemaju di negeri ini menggaji pekerja asing dari beberapa negara.

Beliau berkata, berbeza dengan keadaan di Semenanjung Malaysia, di Sarawak para pemaju mempunyai pilihan yang kurang atau terhad dalam isu mendapatkan pekerja asing untuk bekerja dalam sektor pembinaannya.

“Dalam pada itu, bagi memudahkan syarat untuk mendapatkan pekerja asing, kita juga berharap jabatan berkaitan akan meminimumkan prosedur dan mengurangkan masa memproses permohonan oleh para pemaju untuk menggaji pekerja asing,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Lai berkata Jabatan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan (DOSH), perlu memperkenalkan garis panduan berhubung keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Ketika ini katanya, para pemaju tempatan bekerjasama dengan persatuan-persatuan pemaju di Malaysia bagi mengadakan kursus-kursus keselamatan melalui latihan.

“Oleh yang demikian, para pemaju yang mahu menghantar pekerja mereka bagi menjalankan kursus keselamatan pekerjaan dan kesihatan, mereka boleh datang berjumpa dengan kami (Persatuan Pemaju-Pemaju Miri) dan kami akan membantu mereka,” katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Lai turut menyampaikan insentif kepada anak-anak ahli yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan awam iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Advertisement