Anda di sini

Sukar perbetul persepsi mengenai Islam: Abu Seman

Advertisement

TERBAIK: Abu Seman (dua kanan) menyampaikan piala dan hadiah kepada Hamir Hamzah Kadri johan qari Tilawah Al-Quran Peringkat Zon 2 Daerah Sibu di Masjid Darul Istiqamah, malam kelmarin. Turut kelihatan Hamdi (kanan) dan Wan Nazarul.

Ia ekoran penyebaran fahaman yang berkaitan Islam sebagai melampau di laman sosial

SIBU: Memperbetulkan persepsi mengenai ajaran Islam sebenar merupakan cabaran bagi umat Islam sekarang ekoran penyebaran fahaman yang sentiasa mengaitkan ajaran Islam sebagai melampau di laman media sosial.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie berkata, untuk memperbetulkan persepsi dan menangani cabaran itu umat Islam perlu berilmu dan mengamalkan konsep wasatiyyah (sederhana).

“Sungguhpun Islam adalah agama rasmi negara, namun umat Islam jangan bersikap melampau sebaliknya melakukan apa yang dipelajari dalam al-Quran,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Sibu Zon 2 di Masjid Darul Istiqamah, Jalan Sukun di sini, malam kelmarin.

Beliau dan isterinya Dayang Normaliza Awang Tambi yang hadir sama kemudian menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Pengerusi Masjid Darul Istiqamah Hamdi Awi dan Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Sibu Ustaz Wan Nazarul Wan Abdul Talib antara yang hadir.

Abu Seman berkata, maklumat diperolehi daripada Internet  kadangkala boleh menjadi ‘musuh’ dan tugas umat Islam sekarang ialah menjaga kesuciannya bagi mengelak wujud ketegangan antara umat Islam dengan penganut agama lain.

Katanya tugas menjaga kesucian agama Islam bukan setakat menjadi tanggungjawab ustaz tetapi menjadi milik bersama dan majlis tilawah al-Quran itu merupakan satu daripada program memperkasa dan mempertingkatkan ajaran Islam.

Menurut beliau, umat Islam sekiranya mahu sentiasa dihormati oleh penganut agama lain hendaklah berilmu, berakhlak baik, berkeperibadian mulia dan memiliki kualiti kepimpinan.

“Sekiranya kita berilmu, kita boleh menjadi modal insan berguna kepada negara dan contoh kepada penganut lain.

“Buatlah apa yang telah dipelajari daripada al-Quran,” tegas beliau dan menambah, satu daripada amalan paling mulia perlu dilakukan ialah bersedekah bukan setakat pada bulan Ramadan tetapi sepanjang tahun.

Jelasnya, rakyat di negara ini sungguh bertuah kerana dapat menjalani kehidupan dalam suasana aman damai, selesa dan sejahtera dan bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM2,000 kepada jawatankuasa penganjur dan jawatankuasa Masjid Darul Istiqamah bagi menjayakan aktiviti mereka tahun ini.

Advertisement