Anda di sini

Penerima bantuan banjir azam teruskan kehidupan

Advertisement

MANGSA BANJIR: Kamri Ngah bergambar bersama barangan bantuan yang akan diterimanya selepas menerima baucar bantuan banjir yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penyampaian bantuan mangsa banjir peringkat Negeri Terengganu di Kemaman, semalam. — Gambar Bernama

KEMAMAN: Hujan renyai-renyai di bandar Chukai sedikit pun tidak menjejaskan semangat kira-kira 15,000 penduduk sekitar daerah Kemaman untuk hadir ke majlis penyampaian bantuan mangsa banjir dan penghargaan kepada sukarelawan di Padang Astaka di sini semalam.

Tidak seperti lazimnya, suasana kawasan berkenaan penuh dengan keceriaan dan kemeriahan dengan orang ramai yang berpusu-pusu datang meskipun dalam keadaan basah dan becak untuk menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba untuk merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir dan Meraikan Sukarelawan peringkat kebangsaan.

Diiringi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Anggota Parlimen Kemaman, pemimpin Barisan Nasional (BN) serta pemimpin tempatan, Najib sebaik tiba di lokasi itu kira-kira jam 10 pagi dalam keadaan cuaca yang hujan dan disambut kehadiran orang ramai hadir memenuhi 14,000 kerusi pada majlis itu.

“Bukan semua orang bertuah dapat melihat perdana menteri secara dekat dan bersalaman dengannya, saya berasa amat bertuah hari ini (semalam) kerana terpilih ambil hadiah daripadanya. Saya tidak akan lupa detik itu sampai bila-bila pun,” kata P. Selvathurai, 54.

Selvathurai ialah antara 30 wakil daripada 600 kumpulan pertama mangsa banjir yang secara simboliknya menerima bantuan sumbangan daripada tangan Najib sendiri ketika perdana menteri menyerahkan bantuan kepada keluarga yang terjejas akibat banjir di daerah ini.

Mereka adalah sebahagian daripada 19,205 keluarga di Terengganu yang bakal menerima sumbangan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) serta Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) secara berperingkat.

Antara lain, setiap keluarga akan menerima bantuan berupa tilam, bantal, dapur, peti sejuk dan televisyen bersaiz 32 inci yang kesemuanya bernilai RM5,000.

Selain itu, mangsa banjir juga akan menerima bantuan wang tunai RM500 daripada Kerajaan Pusat dan bantuan antara RM500 dan RM1,500 daripada kerajaan negeri bergantung kepada jumlah kerugian.

Selvathurai, penyelia sebuah kilang besi swasta di Telok Kalong yang tinggal di Bukit Mentok di sini berkata bantuan berupa televisyen daripada SKMM adalah yang paling beliau syukuri kerana mereka telah sebulan tidak menonton disebabkan televisyennya ditenggelami air.

“TV saya rosak sebab kononnya kalau saya letak televisyen di atas almari maka tidak akan kena air, tetapi rupanya kali ini air naik sangat laju masuk ke dalam rumah dan terbalikkan almari lalu TV saya pun tenggelam.

“Kami sekeluarga terpaksa pergi rumah kawan terdekat kalau hendak menonton TV atau terpaksalah guna laptop (komputer riba) tengok di Internet. Terima kasih kepada kerajaan kerana beri bantuan sebegini,” kata yang mengalami anggaran kerugian RM25,000 kerana rumahnya tenggelam hampir paras bumbung.

Sementara itu seorang lagi penerima, Kamri Ngah, 48, dari Pengkalan Pandan menyatakan terharu dengan bantuan diterima kerana mengalami kerugian yang besar.

“Payah juga nak terima hakikat sebab saya alami kerugian lebih RM30,000 seperti kereta rosak, perabot jahanam serta van untuk buat niaga saya juga rosak dan seterusnya menjejaskan sumber rezeki saya sekeluarga.

“Duit yang akan saya terima ini akan saya pentingkan mana yang perlu seperti kelengkapan sekolah anak-anak dan barangan dapur selain selebihnya untuk berniaga,” katanya.

Mohd Fadli Hafiz Ghazali, 25, pula dari Pengkalan Pandan di sini berharap Najib akan terus berusaha membangunkan dan mendahulukan rakyat di manapun mereka berada kerana berpendapat yang penting bagi rakyat ialah rakyat didahulukan.

“Saya bukan nak mengampu kerajaan. Fikirkan dan syukurilah sebab kerajaan kita tidak membiarkan kita hidup menderita. Saya harap perkara baik ini akan diteruskan dan berharap sangat semua pihak mencontohi sikap dan kerja keras Najib membantu mangsa banjir,” kata pemandu kren itu. — Bernama

Advertisement