Anda di sini

Penduduk rumah panjang perlu berpandangan jauh

Advertisement

RASMI: Alexander memotong reben merasmikan jalan simen dan jambatan kayu Rumah Engkamat di Nanga Tada, Kanowit, petang kelmarin.

KANOWIT: Penduduk rumah panjang digesa supaya berpandangan jauh serta berfikir untuk masa depan anak-anak mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent berkata ini kerana kehidupan hari ini adalah lebih mencabar berbanding 10 hingga 20 tahun lalu.

“Banyak perkara telah berubah. Lagi canggih serta moden kehidupan kita, semakin mencabar juga kehidupan kita.

“Jika kita tidak mempunyai pandangan jauh dari sekarang, tidak mustahil kehidupan anak-anak kita dan generasi muda akan bertambah sukar daripada apa yang kita nikmati sekarang,” katanya ketika merasmikan jalan simen dan jambatan kayu Rumah Engkamat di Nanga Tada di sini, petang kelmarin.

Hadir sama Penghulu Barnabas Angkis, Penghulu Ugap Seribu dan Penghulu Ijam Tuah.

Jalan simen dan jambatan kayu yang dirasmikan Alexander itu melibatkan kos sebanyak RM20,000.

Sementara itu, Alexander memuji semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh penduduk rumah panjang di Nanga Tada.

Menurutnya, perpaduan mereka telah dibalas apabila banyak projek kerajaan diluluskan untuk kawasan itu.

Terdahulu, Alexander merasmikan ‘Mangkung Tiang’ (Perasmian Rumah Baharu) seorang penduduk, Entalai Sampuk yang rumahnya telah siap dibina di bawah Projek Bantuan Rumah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Pembinaan rumah Entalai dimulakan pada Jun tahun lalu dan mengambil masa satu bulan untuk disiapkan.

Di Rumah Engkamat, Alexander mengumumkan geran sebanyak RM10,000 untuk membina stor.

Advertisement