Anda di sini

Pekerja Nepal berhimpun depan rumah majikan kerana tidak puas hati

Advertisement

ALOR SETAR: Sekumpulan pekerja kilang papan di Pokok Sena dekat sini berhimpun di depan rumah majikan mereka malam kelmarin setelah berang dengan tindakan majikan yang tidak mengendahkan seorang rakan mereka yang dipercayai mengalami sesak nafas.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu dipercayai melibatkan kira-kira 100 hingga 200 orang pekerja kilang terbabit yang berhimpun di hadapan pintu pagar rumah majikan mereka bagi meminta majikan supaya mengambil tindakan segera untuk menyelamatkan rakan mereka yang sesak nafas di asrama pekerja.

Majikan tersebut yang bimbang berlakunya sesuatu setelah melihat para pekerja asing itu berkumpul beramai-ramai, enggan keluar untuk bertemu dengan kumpulan pekerja itu.

Pekerja-pekerja warga Nepal itu kemudian naik berang setelah mendapati rakan mereka yang sesak nafas itu semakin teruk ekoran kelewatan majikan mengambil tindakan segera.

Bagaimanapun polis yang tiba kira-kira 20 minit kemudian berjaya meleraikan kumpulan pekerja kilang terbabit dan menghubungi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk membawa pekerja yang sakit itu.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar DSP Mat Akhir Jaafar berkata tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kerana majikan bertindak cepat menghubungi polis setelah melihat keadaan makin tidak terkawal.

Katanya ekoran kejadian itu, polis menahan tiga pekerja lelaki warga Nepal yang dipercayai mengetuai himpunan itu, yang boleh mencetuskan huru-hara.

“Hasil maklumat awal kumpulan pekerja terbabit bertindak demikian kerana sebelum ini sudah tiga orang rakan mereka mati secara mengejut di asrama terbabit namun majikan mereka tidak menyiasat puncanya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian lewat malam kelmarin.

Siasatan lanjut akan dijalankan dengan menyoal siasat ketiga-tiga mereka yang ditahan selain mengenal pasti punca kejadian.

“Punca kematian (tiga pekerja asing sebelum ini) kita hanya bergantung kepada laporan doktor. Sebab apa yang kita siasat setakat ni, dia orang ni suka minum (minuman keras). Kadang-kadang minum minuman tak berjenama. Kita tak pasti minuman arak apa yang diminum menyebabkan mereka sakit,” katanya. — Bernama

Advertisement