Anda di sini

Pasar tani tumpuan utama beli barangan dapur murah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sejak ‘Program Jimat Belanja Dapur 2014’ dilancarkan kerajaan pada Selasa lepas, pasar tani menjadi tumpuan utama pengguna untuk mendapatkan 22 barangan terpilih yang ditawarkan potongan harga lima hingga 20 peratus.

Antara barangan berkenaan ialah tomato, lobak merah, kobis, cili merah, timun, kacang panjang, sawi, bendi, cili padi, nanas, tembikai, pisang berangan, kelapa tua, bawang merah besar, ubi kentang, halia tua, ikan pelaling, ikan kembong, ikan cencaru, ikan selar, ikan selayang dan ayam.

Tinjauan Bernama di pasar tani sekitar Lembah Klang mendapati para usahawan mula mematuhi senarai harga panduan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), yang menawarkan penjimatan dari RM0.40 hingga RM3 berbanding harga pasaran untuk kesemua 22 barangan itu.

Rata-rata pengunjung Pasar Tani berpendapat program itu membantu mereka menjimatkan perbelanjaan harian selain dapat membeli barangan segar.

Pesara kerajaan, E.Pillay, 76, berkata beliau dan isterinya sebelum ini memilih pasar raya besar untuk membeli barangan keperluan dapur.

“Mula-mula, macam tak percaya pasar tani boleh tawar harga murah bagi barangan keperluan dapur tetapi hari ini kami dapati ia memang murah,” katanya yang tinggal di SS4, Kelana Jaya.

Pekerja swasta Don Rashid, 48, pula berharap FAMA dapat menghapuskan `orang tengah’ dalam urusan pembelian barangan basah bagi membantu usahawan pasar tani terus maju mengembangkan perniagaan dan memastikan pengguna tidak merungut tentang harga barangan.

Semua pihak perlu bekerjasama dan memainkan peranan mengguna bidang kuasa yang ada bagi memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan hingga menyebabkan harga barangan meningkat tanpa kawalan bersepadu, katanya.

Pembantu Ehwal Ekonomi Pejabat FAMA Selangor Zaidi Mohd Sarip berkata sejak `Program Jimat Belanja Dapur’ dilancarkan, Fama sentiasa membuat pemantauan berterusan untuk memastikan peniaga tidak menaikkan harga dengan sesuka hati.

“Kami menyediakan harga panduan kepada pengguna di setiap pasar tani dan harga pula berlainan setiap hari bergantung kepada bekalan dan lokasi pasar tani.

“Contohnya, kawasan itu mempunyai bekalan sayur yang banyak, maka harga sayur ditawarkan lebih murah. Jika bekalan ikan sukar untuk didapati di sesebuah kawasan itu, maka ikan akan menjadi lebih mahal daripada kawasan lain,” katanya kepada Bernama.

Usahawan Pasar Tani Taman Melawati yang mahu dikenali sebagai Baharuddin, 44, berpendapatan FAMA perlu mengawal pembabitan `orang tengah’ atau peraih dalam rantaian pembekalan barangan basah kepada pengguna bagi memastikan barangan keperluan harian itu dapat dikawal.

Katanya usahawan pasar tani selalunya mengalami masalah dalam urusan pembelian barangan basah berikutan wujudnya `orang tengah’ yang mengambil untung atas angin.

“Selalunya mereka (orang tengah) tidak peduli sama ada kita mahu beli atau tidak, kerana mereka tahu kita terpaksa beli memandangkan tiada pilihan lain.

“Harga yang ditawarkan terlalu tinggi dan kami mengalami masalah kerana berniaga mengikut harga ditetapkan Fama,” katanya.

Beliau juga meminta FAMA atau mana-mana agensi bertanggungjawab supaya menggandakan usaha memantau kegiatan `orang tengah’ di pasar-pasar borong bagi membantu usahawan pasar tani serta peniaga lain mendapatkan barangan basah pada harga berpatutan.

Haris Mohamad yang menjalankan perniagaan sayur-sayuran di Pasar Tani Taman Melawati pula mencadangkan FAMA membina pusat sehenti sebagai satu pusat penjualan borong barangan basah serta keperluan lain kepada usahawan pasar tani sekaligus menghapuskan kewujudan orang tengah.

“Dalam hal ini, kita berada dalam situasi menang-menang dengan usahawan pasar tani dan pengguna tidak berada dalam keadaan menyusahkan,” katanya. — Bernama

Advertisement