Anda di sini

Ops BR1M mungkin akan dilaksanakan

Advertisement

TANDA INGATAN: Md Yahaya (kiri) menyerahkan cenderamata kepada Naroden (tengah) pada sidang media selepas melawat tapak penjaja di Medan Niaga Satok. Turut kelihatan Wan Uzir (kanan).

Ia bagi pastikan peniaga tidak naikkan harga barangan sempena pengagihan BR1M

KUCHING: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sarawak  berkemungkinan akan melaksanakan Ops BR1M bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan sempena pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada bulan depan.

Pengarahnya Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, perkara itu masih berada di peringkat kajian sebelum dilaksanakan.

“Kami (PPDNKK) sedang membuat kajian berkaitan pelaksanaan Ops BR1M dan ia tertakluk kepada keperluan.

“Sebagai contoh, kenaikan gaji bagi penjawat awam, kebanyakan peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan.

“Sebab itu kami melancarkan Ops Gaji baru-baru ini,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak penjaja di Medan Niaga Satok di sini, semalam.

Pada masa sama, Wan Uzir mengingatkan peniaga agar tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya pada musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) tidak lama lagi.

“Kempen kesedaran yang kami adakan pada hari ini bagi memberi pengetahuan kepada peniaga mengenai skim kawalan harga selain turut menjelaskan mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada April 2015 kelak,” jelasnya.

Mengulas mengenai kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Uzir mendedahkan bahawa sebanyak 33 kes dicatatkan dari tempoh 1 Januari hingga 11 Januari lalu.

Justeru tegasnya, tindakan undang-undang akan diambil kepada peniaga yang didapati menaikkan harga barangan terkawal sepanjang tempoh skim kawalan harga itu.

Menyentuh mengenai penyebaran maklumat mengenai GST kepada orang awam dan peniaga di sekitar bandar raya ini, Wan Uzir menjelaskan bahawa pihaknya sedang giat merancang 140 ceramah sepanjang 2014 mengenainya termasuk  di sekolah dan agensi kerajaan.

Sementara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera)  Datuk Naroden Majais berharap peniaga tidak memikirkan untung semata-mata sehingga membebankan pengguna.

“Saya menyambut baik aktiviti yang dikelola PPDNKK dalam usaha memberi kesedaran kepada peniaga dan penjaja mengenai skim kawalan harga di samping melaksanakan hak-hak pengguna mengikut tatacara yang betul.

“Pada masa sama, saya berharap peniaga tidak memikirkan keuntungan semata-mata sehingga boleh membebankan pengguna,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber turut berterima kasih kepada PPDNKK atas usaha produktif mereka dalam menjalankan tugas seperti menyeragamkan harga barangan dan memantau pengeluaran barangan mengikut spesifikasi yang betul.

Hadir sama Setiausaha Persekutuan Sarawak Datu Md Yahaya Basimin, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Narawi Ibrahim, pengamal media dan kakitangan PPDNKK.

Advertisement