Anda di sini

Nelayan raih RM10,000 hasil jualan tapah

Advertisement

LUMAYAN: Mohammad (kiri) menunjukkan ikan tapah seberat 30kg yang ditangkapnya dan dijual di pekan Marudi.

MARUDI: Seorang nelayan tempatan berbangsa Kiput, Mohammad Mansor, 44, dari Kampung Benawa di sini, berjaya meraih pendapatan sehingga RM10,000 dalam masa tiga hari hasil jualan ikan tapah.

Ikan bernilai tinggi dan sentiasa mendapat permintaan daripada pembeli di sini dan Miri berjaya didaratkan oleh Mohammad dengan menggunakan kail di Sungai Tinjar, Baram.

Katanya keadaan banjir yang mulai surut dengan paras air sekarang, amat sesuai untuk mengail ikan tapah kerana ikan berkenaan akan timbul ke permukaan air dan situasi berkenaan menurut penduduk tempatan di sini diistilahkan sebagai ‘ikan nyaruk’, sekali gus memberikan tangkapan yang lumayan kepada nelayan tempatan.

“Ket ika mus im ika n nyaruk, tapah senang dikail dan diperolehi dengan banyak kerana ia timbul ke permukaan air selepas musim banjir,” katanya yang mengakui ikan tapah terbesar pernah ditangkapnya di Sungai Tinjar ialah seberat 30 kilogram.

“Pagi semalam (kelmarin) sahaja, tangkapan saya mencecah lebih 60 kilogram dan di pekan Marudi, harga ikan tapah sekilogram ialah RM38 bagi yang sudah dipotong manakala yang dijual seekor (tidak dipotong) harganya ialah RM35 sekilogram.

“Sepanjang tiga hari lalu hasil tangkapan ikan tapah saya telah memberikan pendapatan lebih RM10,000.

“Walaupun lumayan namun keadaan seperti ini sebenarnya amat jarang berlaku, kerana ia bergantung kepada keadaan sungai dan musimnya,” ujarnya ketika ditemui Utusan Borneo di pasar basah pekan Marudi, semalam.

Tinjauan Utusan Borneo di pekan itu mendapati walaupun ikan tapah dijual setiap pagi pada harga RM35 dan RM38 sekilogram, namun ia tetap laris seperti pisang goreng panas.

Ini kerana pembelinya bukan sahaja penduduk tempatan malah datang dari Miri, Bintulu dan tidak kurang juga dari Brunei Darussalam terutama pada hujung minggu.

Advertisement