Anda di sini

Nelayan hilang mata pencarian, unjam dan bubu dirosakkan

Advertisement

DUNGUN: Kira-kira 200 nelayan di sini kehilangan mata pencarian berikutan unjam dan bubu dimusnahkan pihak tidak bertanggungjawab dipercayai dilakukan bot pukat tunda asing.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Dungun (PNKD) Wan Yusoff Wan Mohd berkata berikutan itu nelayan terbabit membuat laporan di balai polis Dungun pagi semalam.

“Kita berkumpul ramai-ramai membuat laporan di Balai Polis Dungun kira-kira jam 9 pagi ini (semalam) berhubung kejadian itu kerana mereka telah menjejaskan punca rezeki kami,” katanya yang mengetuai kumpulan nelayan itu membuat laporan polis di sini semalam.

Wan Yusoff berkata kebanyakan unjam dan bubu itu dilabuhkan di kawasan Pulau Tenggol dan di depan muara Kuala Dungun.

Katanya, kerugian yang dialami nelayan ditaksirkan melebihi RM500,000 apabila beratus-ratus biji unjam dan bubu telah dirosakkan akibat kerakusan bot-bot pukat tunda berkenaan.

Beliau berkata nelayan tempatan sudah tidak dapat menahan sabar apabila kejadian itu berlaku secara kerap dan berulang-ulang, lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh ini.

“Musim tengkujuh sekarang dia (bot pukat tunda) masuk rapat ke pantai, memusnahkan unjam dan bubu dan sekali gus mata pencarian nelayan pantai terjejas,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Yusof berkata nelayan berharap pihak berwajib dapat bertindak secara tegas kerana ia bukan sahaja menjejaskan nelayan tetapi keluarga mereka. — Bernama

Advertisement