Anda di sini

Lebih banyak projek tebatan banjir di seluruh negara demi keselamatan rakyat, kata Najib

Advertisement

KEMAMAN: Perdana Menteri berkata kerajaan akan melaksanakan lebih banyak projek tebatan banjir di seluruh negara termasuk di Terengganu dan Pahang demi memastikan keselamatan rakyat.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata untuk melaksanakan semua prasarana itu, kerajaan memerlukan lebih banyak peruntukan yang diharap dapat diperoleh daripada transformasi ekonomi negara.

“Untuk melaksana projek tebatan banjir yang keperluannya amat mendesak, kos amat tinggi. Di Chukai RM480 juta, di Kuantan RM700 juta…(ia) memakan belanja berbilion tidak termasuk jalan, jambatan, sekolah dan kemudahan-kemudahan lain yang rosak,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan banjir dan meraikan sukarelawan banjir di Padang Astaka Chukai semalam.

Menurutnya kerajaan sentiasa mahu melihat rakyat hidup dalam keadaan selamat dan sejahtera, namun katanya adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan atas setiap bencana yang berlaku.

Tidak ada negara di dunia ini yang terlepas daripada bencana akibat perubahan iklim dunia sehingga mengakibatkan banjir besar, katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata laporan lengkap untuk membina sistem tebatan banjir di Chukai telah siap dan projek itu akan dilaksanakan selepas pihaknya menerima peruntukan.

Jabatan Pengairan dan Saliran menganggarkan RM480 juta diperlukan untuk membina sistem tebatan banjir itu, katanya kepada Bernama semalam.

Sebanyak 19,205 keluarga terjejas banjir di Terengganu termasuk 14,000 keluarga di Kemaman menerima sumbangan itu secara berperingkat. — Bernama

Advertisement