Anda di sini

Larangan eksport ikan hingga Mac

Advertisement

BERPATUTAN: Ismail Sabri (dua kiri) melihat ikan-ikan yang dijual ketika melawat kawasan perniagaan selepas merasmikan Kedai Ikan Murah di Kerayong, dekat Bera, semalam. Turut kelihatan Pengarah Projek Kedai Ikan Murah, Ahmad Zulkifli Ismail (kiri). — Gambar Bernama

Usaha menangani kekurangan bekalan dan mengawal kenaikan harga

BERA: Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) diarah menghentikan eksport ikan sehingga Mac depan, dalam usaha menangani masalah kekurangan bekalan selain mengawal kenaikan harga.

Menyatakan demikian, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam masa sama NEKMAT juga dibenarkan mengimport lebih banyak ikan bagi memenuhi permintaan dalam negara.

“Kebiasaannya bekalan ikan tempatan dieksport ke Singapura, Hong Kong dan beberapa negara lain.

“Tapi pada musim tengkujuh sekarang ramai nelayan terutamanya nelayan zon A membabitkan seramai lebih 35,000 orang tidak ke laut pada musim tengkujuh kerana laut bergelora.

“Kita mengarahkan NEKMAT menghentikan eksport enam jenis ikan iaitu ikan kembung, selar, kerisi, cencaru, tamban dan ikan selar kuning,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ‘Kedai Ikan Murah’ di Kerayong, dekat sini, semalam.

Dalam perkembangan lain beliau berkata sebanyak 50 buah pasar ikan nelayan akan diwujudkan di seluruh negara pada tahun ini.

“Setakat ini 25 buah pasar itu telah beroperasi, tujuannya bagi membolehkan ikan yang didaratkan nelayan dapat diniagakan oleh nelayan sendiri atau keluarga mereka, selain dapat membendung kegiatan orang tengah yang mengaut untung berlebihan,” katanya.

Selain itu beliau berkata kementeriannya juga berhasrat menjadikan pasar tani sebagai pasar harian.

Sehingga kini, sebanyak 513 buah pasar tani FAMA dibuka di seluruh negara dan sasaran 1,000 buah pasar sama akan dibuka hingga tahun depan dalam usaha kerajaan membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga lebih murah dan berpatutan. — Bernama

Advertisement