Anda di sini

Kira-kira 1,000 sukarelawan sedia hadapi gelombang banjir kedua

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kira-Kira 1,000 sukarelawan daripada dua persatuan belia sedia berkhidmat jika gelombang banjir kedua melanda pantai timur, kata Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Maliki Mohamed Rapiee.

Beliau berkata 500 sukarelawan yang berdaftar dengan MBM sudah bersedia untuk digerak ke negeri yang terlibat, jika khidmat mereka diperlukan.

“MBM sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan gelombang kedua banjir berlaku kerana musim tengkujuh atau monsun hanya akan berakhir pada bulan Mac nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia Amidi Abdul Manan berkata sejumlah besar sukarelawan terbabit dalam misi banjir bulan lepas menyatakan komitmen mereka untuk kembali, jika berlaku gelombang kedua.

“Setakat ini, terdapat kira-kira 800 sukarelawan yang berdaftar dengan Abim dan bersedia untuk digerakkan dan jumlah ini saya percaya akan meningkat, jika khidmat sukarelawan ini diperlukan,” katanya.

Amidi berkata pihaknya menerima sumbangan kewangan kira-kira RM100,000 melalui kempen bantuan mangsa banjir dan sebahagian besarnya sudah diagih kepada golongan terbabit.

Beliau berkata pada masa ini, Abim memfokus kepada bantuan pasca banjir dalam bentuk barangan persekolahan selain membaiki rumah mereka yang rosak akibat bencana itu.

Bulan lepas, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sarawak dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan serta limpahan air sungai di beberapa kawasan sehingga menyebabkan beribu-ribu penduduk terpaksa dipindahkan selain banyak harta benda musnah. — Bernama

Advertisement