Anda di sini

Kes pasangan khianat dengan api ditangguh

Advertisement

SARIKEI: Mahkamah Majistret Sarikei Jumaat lalu menangguhkan perbicaraan seorang lelaki berusia 29 tahun dari Nanga Jenga, Tatau dan pasangan wanitanya berusia 24 tahun, dari Sungai Paoh Sarikei yang dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan  (khianat dengan api) pada 20 Februari depan.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan ke atas tertuduh oleh Pegawai Pendakwa Raya Inspektor Anbarasu Gopi semasa sesi perbicaraan, subjek dituduh melakukan kesalahan terbabit di sebuah hotel di sini.

Pada 6 Januari 2014, jam 12.36 pagi, seorang pekerja bertugas di hotel berkenaan membuat laporan terhadap subjek  menyatakan bahawa pada hari yang sama iaitu jam 12.25 pagi di hotel terbabit, dia terhidu bau asap dari bilik yang disewa oleh kedua-dua tertuduh.

Berikutan itu, pengadu terus bergegas ke bilik tersebut dan mendapati katil serta tilam di bilik terbabit telah terbakar.

Disebabkan kejadian tersebut, pengadu bertindak membuat laporan polis dengan tujuan untuk menuntut kerugian daripada tertuduh.

Pada 6 Januari, jam 5.15 petang, polis Jalan Kubu Lama Sarikei menahan suspek berdasarkan laporan yang dibuat oleh pengadu.

Hasil siasatan tersebut dan berdasarkan keterangan yang diberikan mendapati pada waktu kejadian tersebut tertuduh lelaki mabuk dan menghisap rokok lalu terus tertidur, di mana api rokok masih belum terpadam dan seterusnya menyebabkan tilam dan katil di bilik hotel tempat mereka menginap terbakar.

Berikutan itu, tertuduh (lelaki) dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api), dengan menyebabkan kebakaran dan boleh mengancam keselamatan orang lain.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda.

Sementara menunggu sebutan semula kes tersebut, Mahkamah Majistret Sarikei memutuskan tertuduh dibebaskan dengan jamin mahkamah RM5,000  bersama dua penjamin dan deposit RM1,500.

Advertisement