Anda di sini

Elak helang demi selamat tiga nyawa

Advertisement

LAWATAN: Wan Mohd Nor (dua kiri) bersama beberapa pegawai hospital ketika melawat Saiful Farid di Hospital Selayang di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

Kapten nekad mengubah haluan Cessna 172 agar tidak lemas dalam tasik

KUALA LUMPUR: Keputusan pantas untuk mengelak daripada bertembung dengan dua ekor helang dilakukan demi menyelamatkan semua yang berada di dalam pesawat Cessna 172 daripada mati lemas di dalam tasik, kata juruterbang pesawat itu, Kapten Saiful Farid Amri Amrizal.

“Ketika itu saya hanya dapat berfikir jika tidak mengelak burung terbabit, ia akan masuk ke dalam bahagian enjin lalu terbakar dan kami akan jatuh ke dalam air empangan. Ini lebih bahaya,” katanya kepada pemberita di Hospital Selayang, di sini semalam.

Dalam keadaan genting itu, Saiful Farid Amri, 22, nekad mengubah haluan pesawatnya daripada laluan asal namun hilang kawalan pesawat itu.

“Saya tidak mempunyai pilihan selain daripada memusingkan sedikit laluan tetapi tidak sangka saya pula yang hilang kawalan ekoran angin kuat pada masa itu juga,” katanya.

Akibat tolakan angin itu, pesawat tersebut menjunam dan terhempas di kawasan hutan berbuluh.

Setelah terhempas, beliau terus merangkak dan mengheret keluar dua pelatih juruterbang yang cedera di muka dan kaki.

Apabila keadaan mula gelap, beliau menyalakan unggun api mengikut prosedur latihan keselamatan agar pasukan penyelamat dapat mengesan kedudukan mereka setelah mereka tidak nampak jalan keluar dari hutan itu.

Selain Saiful Farid Amri, yang turut cedera dalam kemalangan itu ialah Syed Haidhar Syed Zulkifli, 25, dan Shaiful Zafiq Razali, 24.

Ketiga-tiga mangsa kini dirawat di wad biasa setelah mereka menerima rawatan di wad kecemasan hospital itu kelmarin.

Saiful Farid Amri bersyukur dengan kepantasan pasukan bomba dan penyelamat menemui mereka kerana ia menyuntik semangat mereka untuk meneruskan hidup setelah menyangka mereka akan terperangkap di kawasan itu selamanya.

Malah tindakan pantas pasukan bomba memberi perkhidmatan rawatan awal kepada ketiga-tiga dapat mengurangkan risiko kecederaan mereka daripada parah dijangkiti kuman, katanya.

“Berteman unggun api yang saya buat, saya syukur pihak bomba tiba tepat pada masanya, jikalau tidak saya tidak tahu apa nak jadi dengan nasib kami,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim yang ditemui ketika menziarah ketiga-tiga mangsa di hospital itu semalam berkata secara keseluruhan pihaknya berjaya menyelamatkan mangsa dalam tempoh 14 jam sekalipun berdepan dengan keadaan hutan yang gelap dan berbukit curam.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada penduduk Empangan Batu kerana sejurus mendapat maklumat, kami menggerakkan operasi pada jam 12.15 malam kerana mereka telah memberi petunjuk ada terdengar bunyi letupan,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai bomba yang terlibat dengan operasi itu, PKB II Ismail Abdul Ghani, 46, berkata mereka menemui ketiga-tiga mangsa di tempat insiden kira-kira jam 5 pagi dalam keadaan sangat letih dan trauma.

“Satu-satunya perkara yang dapat saya fikirkan masa itu adalah memastikan kecederaan yang dialami mereka tidak bertambah parah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman memberitahu Bernama perancangan untuk membawa keluar bangkai pesawat yang terhempas akan dilakukan dalam waktu terdekat.

Beliau berkata setakat ini pihaknya bersama Kelab Penerbangan Diraja Selangor (KPDS) sedang melakukan kajian terhadap pesawat terbabit di lokasi kejadian.

“Proses siasat, kaji dan selidik terhadap pesawat itu mengambil masa, oleh itu untuk sementara waktu, kami biarkannya (pesawat) dahulu di situ. Biar petugas kami dan KPDS teliti dan punca sebenar masalah pesawat itu,” katanya. — Bernama

Advertisement