Anda di sini

DAP Sarawak sasar menang sekurang-kurangnya 24 kerusi

Advertisement

LEBIH REALISTIK: Chong (duduk, empat kiri) bercakap kepada media sebelum mempengerusikan mesyuarat mesyuarat jawatankuasa DAP Sarawak di Kuching, semalam.

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak meletakkan sasaran untuk menang majoriti satu pertiga atau sekurang-kurangnya 24 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya Chong Chieng Jen menegaskan, parti itu kini lebih realistik menentukan sasarannya pada pilihan raya nanti dan ia tidak hanya menyentuh jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dimenanginya.

“Kami tidak akan memberitahu umum jumlah kerusi yang akan ditandingi.

“Realitinya, kami sekarang meletakkan impian yang lebih realistik iaitu memenangi satu pertiga kerusi DUN.

“Memenangi 24 daripada 71 kerusi, adalah sasaran yang lebih realistik, konservatif dan mampu dicapai,” katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa DAP Sarawak di sini semalam.

Ketika ini pembangkang menguasai 15 kerusi DUN. DAP memegang 12 kerusi iaitu Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Kawah, Kidurong, Repok, Meradong, Bukit Assek, Pelawan, Dudong, Piasau dan Pujut.

Manakala tiga lagi kerusi iaitu Batu Lintang, Krian dan Ba’Kalalan milik PKR.

Dalam perkembangan lain, Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan ADUN Kota sentosa memberitahu bahawa DAP mengalu-alukan Parti Pekerja Sarawak (SWP) menyertai kumpulan pembangkang negeri dalam usaha menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada PRN akan datang.

Beliau mengakui telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Presiden SWP Larry Sng dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian sebelum Sng mengumumkan hasrat mahu menyertai pembangkang.

Chong menambah, DAP dan SWP boleh bekerjasama asalkan mereka mempunyai ideologi politik serta impian yang sama.

“Saya fikir, kami telah menyatakan pendirian dengan jelas iaitu kami mengalu-alukan penyertaan SWP tetapi saya serahkan kepada PKR Sarawak mengenai perkara itu,” ujar beliau.

Ditanya sama ada PR akan mempelawa SWP secara rasmi, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan secara lanjut dalam mesyuarat jawatankuasa PR Negeri nanti.

Beliau menambah, pemimpin-pemimpin PR Negeri akan mengadakan mesyuarat selepas sambutan Tahun Baharu Cina dan semasa mesyuarat sebelum ini, mereka tidak menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi-kerusi bandar.

“Tiada rundingan (berhubung perkara itu) lagi. Hanya menyatakan kawasan-kawasan yang diintai.

“Rundingan sangat penting bagi mengelak tuntutan (kerusi) bertindih,” katanya.

Chong bagaimanapun mengakui BN masih kuat meskipun DAP kini dalam usaha memperluaskan pengaruhnya di kawasan luar bandar.

Advertisement