Anda di sini

Anak aset penting kepada keluarga dan negara

Advertisement

BANTUAN: Uggah (tiga kiri) menyampaikan bantuan awal persekolahan 2014 kepada salah seorang pelajar.

Negara perlu modal insan cemerlang sebagai pewaris pastikan kesinambungan kemajuan: Uggah

SPAOH: Anak-anak bukan sahaja aset penting kepada keluarga malah merupakan aset kerajaan pada masa depan dan kecemerlangan mereka mampu membawa perubahan dan kemajuan negara pada masa depan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata negara memerlukan modal insan cemerlang sebagai pewaris dalam usaha memastikan kesinambungan kemajuan.

Katanya kerajaan banyak menyediakan kemudahan untuk dinikmati rakyat merangkumi peralatan persekolahan yang dapat membantu pelajar dan pihak sekolah dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengabaikan tanggungjawab membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan dan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh di sini kelmarin.

Menurutnya, pelbagai bantuan disediakan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan banyak lagi selain bantuan persekolahan anak-anak sebanyak RM100 seorang.

“Ini membuktikan kerajaan BN menepati janji kepada rakyat khususnya di luar bandar.

“Malah, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Betong yang merupakan satu-satunya pusat pembelajaran untuk pelajar cemerlang yang harus diambil peluang,” tegasnya.

Ahli Parlimen Betong itu berkata ibu bapa juga harus memainkan peranan penting dalam usaha mendidik anak-anak tanpa mengharapkan guru.

Katanya, semua pihak perlu berganding bahu dan bekerjasama agar usaha melahirkan kecemerlangan anak terhasil.

Beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada semua tenaga pengajar SK Spaoh dan SMK Spaoh yang berjaya meningkatkan prestasi serta mutu pendidikan di setiap sekolah.

Bagi UPSR 2013, SK Spaoh memperolehi purata GPS 3.00 berbanding 3.09 pada 2012 dengan tiga muridnya mendapat 5A dalam UPSR manakala SMK Spaoh melahirkan empat pelajar mendapat 8A dalam SPM.

“Ini membuktikan bahawa keberkesanan mutu pendidikan setiap tahun dan berharap agar keputusan tersebut dapat dipertingkatkan dari tahun ke tahun,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Uggah berkata, kementeriannya telah menyediakan pelbagai bantuan untuk dinikmati rakyat seperti bantuan penanaman sawit, getah, koko dan lada.

Justeru, beliau berharap peluang itu direbut oleh rakyat untuk mengusahakan tanah terbiar mereka.

Justeru, beliau bercadang mewujudkan pasar minggu untuk menempatkan hasil jualan dan akan dibincangkan dengan Jabatan Tanah dan Survei serta FAMA sambil berharap semua pihak bersatu padu dan bekerjasama untuk membantu rakyat.

Terdahulu, Pengetua SMK Spaoh Hazmi @ Hazjemi Jahan merakamkan penghargaan kepada semua yang menjayakan program tersebut.

Sehubungan itu, Uggah menyampaikan wang bantuan khas persekolahan kepada pelajar SK dan SMK Spaoh, insentif khas kepada pelajar cemerlang UPSR dan PMR dan penyampaian cek RM10,000 kepada PIBG SMK Spaoh.

Beliau turut mengumumkan peruntukan kos perjalanan kem pengawas berjumlah RM6,000, pelaksanaan jalan berbumbung SMK Spaoh berjumlah RM57,000 dan untuk aktiviti sekolah yang masing-masingnya RM10,000.

Turut hadir Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel, Setiausaha Politik Uggah Dr Richard Rapu, Pegawai Pendidikan Daerah Betong Spawi Mahdi, pengetua, guru besar, ketua-ketua jabatan kerajaan dan ketua-ketua masyarakat.

Advertisement