Anda di sini

Usah terpengaruh sentimen sempit

Advertisement

PULAU BRUIT: Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol menggesa rakyat negeri ini agar tidak terpengaruh dengan tindak-tanduk kumpulan tertentu memainkan sentimen perkauman dan keagamaan sejak kebelakangan ini.

Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab itu amat berbahaya kerana boleh mencetuskan huru-hara dan ketidakstabilan masyarakat majmuk di negeri ini.

“Pelbagai isu dan sentimen berbaur perkauman dan keagamaan timbul sejak kebelakangan ini.

“Isu-isu ini dieksploitasi oleh sesetengah pihak yang cuba menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap perkara tertentu dan situasi ini memberi satu cabaran kepada pentadbiran negeri dan negara.

“Individu tidak bertanggungjawab ini ada mulut tetapi celupar dan pendek akal. Malah, sejak akhir-akhir ini ada melampaui batas,” ujarnya semasa mengadakan lawatan kerja untuk meninjau masalah rakyat dan perjumpaan dengan beberapa jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di sini, semalam.

Abdullah berkata, pihak terbabit tidak sedar kesan buruk perbuatan itu, justeru rakyat perlu berwaspada dan mengelak daripada terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan.

“Bagi saya, kita perlu membendung gejala ini hingga ke peringkat akar umbi. Mereka tidak bertanggungjawab ini tidak boleh dibiarkan, sebaliknya mesti diasing dan diambil tindakan mengikut undang-undang yang ada,” katanya.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop menambah, isu seumpama itu bukan sahaja mampu memberi tekanan kepada perpaduan masyarakat tetapi turut memberi pelbagai impak negatif kepada semua aspek.

Pada lawatan itu, Abdullah turut menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada setiap surau dan masjid di DUN Semop bagi menjayakan sambutan Maulidur Rasul tidak lama lagi.

Serentak itu, Abdullah meluangkan masa menjenguk masyarakat Iban di Rumah Won di samping menghulurkan peruntukan RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bekakong yang merupakan sekolah pedalaman terbaik di Pulau Bruit dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu.

Advertisement