Anda di sini

SWP tubuh cawangan pertama di bandar

Advertisement

Oleh Agnes Tugong

 

KUCHING: Parti Pekerja Sarawak (SWP) melancarkan penubuhan cawangan baharu  bagi kawasan Padungan dalam usaha memperkukuhkan sokongan serta jentera parti.

Cawangan pertama seumpamanya dibuka di kawasan bandar itu diharap akan mendorong kepada penubuhan lebih banyak cawangan SWP yang lain di kawasan bandar.

Pengerusinya, Dr Ong Lak Sai yang juga Setiausaha Agung SWP berkata, penubuhan SWP Cawangan Padungan tidak akan mengganggu status quo Kuching, sebaliknya akan bekerjasama dengan parti yang berkenaan semampu yang mungkin.

“Penubuhan SWP Cawangan Padungan tidak akan mengganggu rakan parti sedia ada tetapi kami mahu bekerjasama dengan anda dan melakukan apa yang boleh kami lakukan.

“Tetapi, jika ada kerusi-kerusi lain di Kuching ini, kami ingin memohon diberikan peluang untuk bertanding di sini, mungkin bukan saya tetapi pemimpin-pemimpin muda kami yang lain,” ujarnya.

Dr Ong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SWP Cawangan Padungan dan Sambutan Pra Tahun Baharu Cina di salah sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

Majlis tersebut dilancarkan oleh Presiden SWP Larry Sng dan turut dihadiri oleh Naib Presiden Kanan Josephine Mawat serta empat pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) iaitu ADUN Padungan Wong King Wei, ADUN Pending Violet Yong dan ADUN Batu Kawa Christina Chiew serta Ahli Parlimen Stampin Julian Tan.

Sementara itu, Wong ketika ditemui pada pelancaran tersebut menyambut baik penubuhan SWP Cawangan Padungan dan berpendapat ia akan memperkukuhkan DAP di kawasan itu.

Beliau juga yakin penubuhan SWP Cawangan Padungan tidak akan menjejaskan DAP dan bersedia untuk bekerjasama dengan SWP demi kebaikan masa depan rakyat Sarawak.

“Saya gembira apabila dijemput untuk menghadiri pelancaran ini yang menunjukkan kemesraan SWP dan saya percaya kedua-dua parti boleh bekerjasama dengan baik.

“Kami boleh melengkapi antara satu sama lain kerana SWP bermula dengan kawasan luar bandar, manakala DAP bermula dengan kawasan bandar dan ia merupakan proses pembelajaran kepada kedua-dua parti untuk bersatu,” katanya.

Advertisement