Anda di sini

Penjawat awam perlu efisien

Advertisement

TINGKAT KUALITI KERJA: Fadillah dan Segarajah (kiri) melakukan simbolik perasmian Karnival Kerjaya SPA di Stadium Perpaduan Kuching, semalam. Turut kelihatan, Zainal Abidin. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

Persepsi bekerja dengan kerajaan sekadar untuk meraih manfaat perlu diubah: Fadillah

KUCHING: Penjawat awam tidak sepatutnya menganggap bekerja dalam sektor awam hanya untuk mendapat manfaat dari segi perubatan, pinjaman atau elaun, malah mereka memikul tanggungjawab besar iaitu memberi perkhidmatan efisien kepada masyarakat.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, persepsi sedemikian perlu diubah agar perkhidmatan lebih berkualiti dapat disampaikan selain meningkatkan produktiviti sesebuah agensi.

Menurutnya, memang tidak dinafikan penjawat awam mempunyai banyak manfaat berbanding pekerja swasta, namun ia bukan faktor utama bagi mereka untuk menyertai sektor awam.

“Kebanyakan masyarakat menganggap bekerja dengan sektor awam mempunyai banyak manfaat berbanding sektor swasta terutama dari segi kebajikan pekerja.

“Jadi setiap penjawat awam perlu menjalankan tanggungjawab dengan lebih beretika dan efisien memandangkan harapan setiap masyarakat pada masa ini begitu tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Stadium Perpaduan di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Setiausaha (Pengambilan) Zainal Abidin Ahmad dan Setiausaha Bahagian Urusetia Cawangan Sarawak Abdul Halim Abang Naili.

Fadillah berkata, penyertaan dalam sektor awam ketika ini agak sukar kerana setiap calon perlu mempunyai nilai tambah, selain sijil atau keputusan akademik yang baik.

“Untuk menyertai sektor awam mempunyai banyak persaingan, jadi setiap pemohon perlu mempunyai kemahiran istimewa termasuk dalam pengurusan dan komunikasi,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPA Datuk Segarajah Ratnalingam berkata, seramai 4,235 pemohon dari Sarawak telah dilantik dan diberi latihan dalam sektor awam.

“Ia merupakan 29 peratus daripada 14,731 pemohon dari Sarawak yang menghadiri temuduga,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, kata Segarajah, sejumlah 196,478 pemohon dari Sarawak berdaftar dengan SPA.

Bermula 4 Januari, katanya, SPA telah menganjurkan Seminar dan Kursus Tips Panduan Bagi Memasuki Perkhidmatan Awam di seluruh negara.

“Di Sarawak, seminar ini akan diadakan pada 19 Januari di Auditorium Bangunan Sultan Iskandar,” tambahnya.

Maklumat lanjut berhubung kursus tersebut boleh didapati melalui capaian portal SPA di www.gov.my.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Fadilah berkata sebanyak tujuh projek yang membabitkan naik taraf jalan dan pembinaan jambatan akan dilaksanakan di seluruh negeri pada tahun ini.

Katanya, ia merangkumi naik taraf Jalan Sibu-Bintulu kepada empat lorong, pembinaan lorong memotong di kawasan kerap kemalangan dan naik taraf Jalan Kuching-Serian.

Menurutnya, empat lagi projek ialah menaik taraf Jalan Matang ke Stapok termasuk membina jambatan, Jalan Tanjung Kidurong ke Taman Perindustrian Samalaju, Jalan Tedungan-Pandaruan dan Jalan Mengkalap-Sindumin kepada standard R5.

“Sebanyak RM767 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan projek ini termasuk RM500 juta yang diumumkan dalam Bajet 2014 selain RM50 juta untuk menaik taraf Jalan Pan Borneo,” jelasnya.

Sepanjang tahun lepas, menurutnya, sejumlah RM446.13 juta dibelanjakan untuk pelaksanaan lapan projek di negeri ini.

“Kesemua projek ini sudah siap mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Lapan projek itu merangkumi Jalan Tun Jugah-Jalan Song Interchange, Jalan Pujut 7-Tudan, jambatan menyeberangi Sungai Pandaruan, Jambatan Batu Kawah, Jambatan Sungai Tabuan, Jalan Kuala Tatau-Kuala Serupai, jalan dari Rumah Kita/Ugap ke SK Rantau Panjai (Kapit) dan rumah kediaman persekutuan di Mukah.

Fadillah menjelaskan, hanya satu projek tidak siap tahun lepas.

“Ia melibatkan pembinaan jalan penghubung ke Pusat Pentadbiran Persekutuan di Matang Fasa 2,” jelasnya.

Advertisement