Anda di sini

Penduduk RPR Sungai Plan Lot terjejas teruk banjir kilat

Advertisement

BINTULU: Penduduk Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sungai Plan Lot di sini terjejas teruk akibat banjir kilat yang melanda kawasan perumahan mereka, pagi semalam.

Menurut sumber, air mula melimpah masuk ke kawasan perumahan mereka sekitar jam 5.30 pagi yang mana terdapat beberapa buah rumah di situ turut dimasuki air sedalam dua kaki.

Menurut salah seorang penduduk yang terjejas, Dora Duat, 47, rumahnya dimasuki air sebanyak dua kali pada tahun ini menyebabkan beliau dan keluarga menanggung kerugian yang agak besar berikutan harta benda rosak teruk akibat banjir kilat.

“Saya berharap agar pihak berkaitan yang mengendalikan sistem saliran dan perparitan di sini mengambil tindakan segera bagi mewujudkan sistem perparitan lebih efisien bagi melancarkan sistem aliran air di kawasan ini,” katanya.

Roselind Ngali, 45, juga penduduk di RPR Sungai Plan Lot berharap agar pihak bertanggungjawab mengambil langkah perlu bagi mengelak berlakunya kejadian banjir kilat yang hampir setiap tahun melanda kawasan perumahan mereka.

Jelasnya, beliau tidak pernah tenang setiap kali berlakunya hujan lebat kerana kawasan terbabit kerap mengalami banjir kilat luar biasa serta merosakkan harta benda milik mereka.

“Kami (penduduk) di sini perlukan sistem perparitan lebih luas dan efisien supaya aliran air lancar setiap kali hujan lebat bagi mengelak berlakunya banjir kilat yang menyusahkan penduduk di sini,” jelasnya.

RPR Sungai Plan Lot merupakan salah sebuah kawasan perumahan yang kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat berikutan sistem perparitan agak kecil dan tidak berupaya menampung aliran air.

Justeru, penduduk berharap pihak berkuasa memikirkan cara lebih efisien menangani banjir kilat yang sering menjejaskan penduduk di kawasan perumahan ini terutamanya musim hujan.

Advertisement