Anda di sini

‘Ops Buku: Mari Membaca’ sasar budaya membaca ketika guna pengangkutan awam

Advertisement

SHAH ALAM: Pembudayaan amalan membaca semasa menunggu dan menaiki pengangkutan awam menjadi sasaran program ‘Ops Buku: Mari Membaca’ anjuran Kumpulan Media Karangkraf dengan kerjasama 1Malaysia For Youth (1M4U) yang mula digerakkan semalam.

Sebagai pembuka tirai aktiviti yang dijadual berlangsung dua kali sebulan sepanjang 2014, sekumpulan 20 penuntut institusi pengajian tinggi melakukan ‘flash mob’ dengan membaca buku dan novel di Stesen KTM Komuter Seksyen 19 di sini.

Pengurus Bahagian Acara dan Integrasi 1M4U Shaffique Ahmad Zehnun berkata program itu bertujuan memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat, terutama pelajar, agar masa terluang dapat dimanfaat sepenuhnya.

“Masyarakat, terutama golongan muda hari ini, masih kurang menerapkan budaya membaca ketika ada masa terluang seperti itu sedangkan ia masa terbaik yang boleh dimanfaat untuk menambah ilmu pengetahuan kita,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata program itu akan diteruskan di stesen komuter atau LRT terpilih.

Shaffique juga berkata pihaknya menggalakkan lebih ramai golongan muda, terutama pelajar, menyertai acara itu agar objektif pembudayaan amalan membaca lebih meluas dalam kalangan masyarakat dapat dicapai. — Bernama

Advertisement