Anda di sini

Malaysia braced for austerity challenge

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Axis FC menjulang nama Sarawak setelah menjulang juara Ke­johanan Bola Sepak Piala Mamee 1Malaysia Zon Malay­sia Timur dengan menewaskan Daerah Tawau 1-0 di Stadium UNIMAS, di sini semalam.

Gol Axis dijaringkan oleh Augustine Panjang menerusi tandukan cantik pada minit ke-10.

Tawau cuba bangkit dari ketinggalan namun barisan pertahanan Axis kental men­gawal gol mereka daripada dibolosi hingga tamat masa perlawanan.

Kemenangan itu memas­tikan Axis menggondol hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi dan pingat. Manakala Tawau berpuas hati dengan hadiah RM3,000.

Tunas Asas Bola Sepak Safa Kota Kinabalu yang men­duduki tempat ketiga meraih RM2,000 manakala Team Kickalob K2015 membawa pulang RM1,000 di tempat keempat.

Pengurus Pasukan Axis, Iswandi Ali Hassan melu­ahkan rasa gembira dan sy­ukur dengan kejayaan anak-anak buahnya itu.

“Sasaran awal kita adalah untuk menduduki dua tempat teratas bagi membolehkan kita layak ke perlawanan akhir di Kuala Lumpur.

“Ini adalah bonus buat Axis dan tahniah kepada semua pemain serta barisan jurulatih yang telah berkerja keras memastikan Sarawak muncul johan,” katanya semalam.

Menurut Iswandi, pasukan itu merupakan gabungan pemain dari akademi bola sepak Axis dan Sekolah Sukan Tabuan Jaya.

Selaku johan dan naib johan, Axis dan Tawau akan mewaki­li Zon Malaysia Timur ke per­lawanan akhir bagi merebut hadiah lumayan berjumlah RM15,000 pada 22 Februari depan di Kuala Lumpur.

Sebanyak 16 pasukan meny­ertai kejohanan yang berlang­sung selama lima hari.

Kejohanan ini dianjurkan oleh Yayasan Rakyat 1Malay­sia (YR1M) dengan kerjasama Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd dan Manchester United.

Sarawak diwakili enam pasukan manakala Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing menghantar lima pasukan.

Menteri Muda Pembangu­nan Belia, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyam­paikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir Presiden Per­satuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Haidel Heli dan Naib Presiden Per­satuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan dan Ahli Majlis Penasihat YR1M Sarawak, Irwan Zulkarnain Hasbie.

Advertisement