Anda di sini

Kritikan PKR mengenai masalah air tidak masuk akal

Advertisement

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan menyifatkan kritikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai masalah air di Simunjan baru-baru ini sebagai tidak masuk akal, tidak profesional selain mempunyai motif tidak baik dan agenda tersembunyi.

Setiausaha PBB Simunjan Reli @ Raily Ali melalui kenyataan media yang dikeluarkan di sini semalam berkata, kritikan oleh Naib Pengerusi PKR Negeri See Chee How itu adalah untuk kepentingan politik semata-mata dan memancing undi di Simunjan.

Bagaimanapun, kata beliau, taktik PKR itu tidak diterima oleh majoriti penduduk di Simunjan.

“Kami ingin bertanya kepada PKR, adakah anda pernah tinggal bermalam atau melakukan apa-apa untuk menyelesaikan masalah air di Simunjan? Jika anda hanya mempunyai pengetahuan yang sikit mengenai bekalan air Simunjan, kami menasihatkan anda untuk berhenti bercakap mengenainya.

“Sekarang bekalan air kami sama seperti kawasan lain malahan lebih baik daripada kawasan-kawasan tertentu. Adakah anda tidak tahu masalah bencana tidak dielakkan?” tegasnya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan yang dibuat See yang telah disiarkan menerusi akhbar tempatan pada 10 Januari berkenaan masalah air di Simunjan.

Jelasnya, masyarakat di kawasan Simunjan berasa gembira dengan wakil rakyat  mereka iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Datuk Mohd Naroden Majais kerana beliau seorang pemimpin berwawasan selain melakukan tugasnya dengan cemerlang.

Kata Reli, Naroden juga telah berusaha sedaya upaya untuk membawa Simunjan mencapai pembangunan yang besar berbanding dengan tiada apa yang dilakukan oleh PKR pada ketika ini di Simunjan.

“Tiada apa yang berlaku. Ia hanya masalah biasa yang berlaku dan kami tidak memerlukan orang luar untuk campur tangan dan jangan cuba menyibuk kerana kami tahu apa dilakukan.

“Datuk Naroden merupakan seorang yang bertanggungjawab,” katanya.

Tambah beliau lagi, kenyataan yang dibuat itu mampu merosak dan mencemarkan nama Naroden, bagaimanapun ia tidak akan mempengaruhi mereka sebaliknya terus menyokong di belakang wakil rakyat mereka.

“Kenyataan anda menyebabkan kemarahan dan tidak puas hati di kalangan PBB Simunjan terutamanya masyarakat kawasan Simunjan.

“Adakah anda tidak tahu atau berpura-pura tidak tahu bahawa Simunjan adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan ramai calon PKR telah ditewaskan calon kami, Datuk Naroden,” ujarnya lagi.

Advertisement