Anda di sini

Ibu bapa abai anak bakal berdepan kerja khidmat masyarakat: Rohani

Advertisement

SEBUYAU: Ibu bapa yang didapati melakukan pengabaian terhadap anak-anak mereka bukan sahaja berdepan dengan denda RM20,000, malah melakukan kerja khidmat masyarakat di rumah kebajikan yang dipilih.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, khidmat masyarakat yang dikenakan berlandaskan jam itu merupakan cadangan penambahbaikan dalam pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menggantikan hukuman penjara selama 10 tahun yang ditetapkan dalam akta sebelum ini.

Ahli Parlimen Batang Lupar itu berkata, akta itu dipinda kerana statistik kes pengabaian anak-anak oleh ibu bapa kandung di negara ini agak menggerunkan dengan peningkatan lima peratus setiap tahun.

“Peningatan sebanyak lima peratus setiap tahun pada saya satu angka yang agak tinggi dan membimbangkan. Sehubungan itu, kami di kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pengabaian ibu bapa terhadap anak-anak mereka.

“Sebagai langkah lebih tegas, kami akan mengambil tindakan pertamanya kekalkan denda RM20,000 seperti dalam klausa akta, tetapi penjara mungkin ditambah baik iaitu kepada khidmat masyarakat di rumah kebajikan yang kami pilih,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Program Kembara Intelektual Kreatif Bersama Siswa UKM di Dewan Masyarakat Kampung Sebuyau di sini, semalam.

Bagaimanapun, menurut Rohani, hukuman penjara itu akan dikenakan sekiranya ibu bapa melakukan kesalahan berulang.

Selain itu, katanya, bagi ibu bapa yang didakwa atas kecuaian dan mempunyai anak lain, kementerian kini memperincikan tindakan supaya anak-anak berkenaan dibawa kepada JKM.

“Namun, memandangkan kita mengambil contoh dari negara-negara barat, secara spesifik tentang perkara ini akan saya umumkan apabila pegawai kami sudah lengkap dengan semuanya.

“Di samping mengambil anak lain dan khidmat komuniti di rumah kebajikan, saya mahu ibu bapa ini juga menjalani kursus-kursus keibubapaan yang dikendalikan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), juga mengikut jam,” tegasnya.

Tambah Rohani, setakat ini masih belum ada ibu bapa yang didakwa atas kecuaian meskipun akta telah diwujudkan, justeru ia dilihat sebagai punca kes-kes pengabaian kanak-kanak semakin meningkat.

“Mula-mula dahulu kita mengatakan kes seperti penderaan kanak-kanak terjadi seperti meninggal dalam kereta atau dilanggar oleh ibu bapa sendiri hanya sekali sekala berlaku tetapi statistik menunjukkan bahawa ia ada-lah pengabaian sebenarnya.

“Pengabaian kanak-kanak nampaknya satu daripada statistik yang sangat menggerunkan kini. Untuk makluman pada tahun 2012 di Malaysia keseluruhannya terdapat 3,831 kes pengabaian kanak-kanak,” kata Rohani.

Di Sarawak, statistik kes sedemikian juga antara yang paling tinggi di mana pada tahun 2012 sebanyak 156 kes direkodkan, katanya.

Manakala setakat bulan Jun 2013, jelasnya, kes pengabaian dicatatkan sebanyak 1,847 di seluruh negara dengan Sarawak 60 kes.

Mengenai program yang diadakan semalam, Rohani berharap aktiviti yang disertai 38 mahasiswa Pengajian Jarak Jauh (PJJ) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu akan diperbanyakkan di kawasannya.

“Saya sangat mengalu-alukan program sebegini kerana ia umpama motivasi kepada orang kampung khasnya anak-anak muda kita untuk melanjutkan pengajian ke menara gading selain mampu menyebarkan rancangan atau dasar kerajaan,” katanya.

Advertisement