Anda di sini

Cuti anggota bomba Sibu masih dibeku

Advertisement

SIBU: Cuti anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu masih dibekukan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir gelombang kedua pada hujung bulan ini.

Ketua JBPM Sibu, Abdul Mutalib Rashid berkata cuti anggota hanya akan diluluskan bagi keadaan tertentu.

“Buat masa ini, cuti anggota masih dibekukan dan hanya diberikan bagi kepentingan tertentu,” katanya di sini.

Menurut Abdul Mutalib, JBPM Sibu juga bersiap sedia bagi menghadapi banjir gelombang kedua sama ada dari segi peralatan dan anggota.

“Sama ada berlaku banjir atau tidak, kita akan bersedia 24 jam,” jelasnya ketika ditanya mengenai persediaan jabatan bagi menghadapi banjir seterusnya.

Banjir gelombang kedua dijangka berlaku pada hujung bulan ini berikutan kejadian air pasang besar bermula 29 Januari, dengan paras air pasang tertinggi dicatatkan pada hari kedua Tahun Baharu Cina (1 Februari).

Keadaan banjir ini akan menjadi lebih teruk sekiranya cuaca buruk atau hujan lebat turun berterusan di bandar ini serta di kawasan hulu.

Menyentuh mengenai permohonan bagi mendapatkan sijil kebakaran (FC), Abdul Mutalib berkata permohonan daripada pemilik-pemilik premis di sini semakin meningkat.

“Namun, masih ada juga premis-premis yang ditetapkan enggan memohon. Kita akan mengambil langkah-langkah seterusnya.

“Kemungkinan proses ini sehingga ke mahkamah,” ujarnya sambil menambah pada tahun lalu beberapa pemilik premis telah dihadapkan ke mahkamah kerana tidak memiliki FC.

Kesemua kes difahamkan telah dimenangi oleh pihak kerajaan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Advertisement