Anda di sini

Bangunan baharu SK Kampung Tellian cuma tunggu ‘rolling plan’

Advertisement

MUKAH: Bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian akan dibina bersebelahan dengan padang sekolah lama dan sekarang hanya menunggu proses ‘rolling plan’ untuk pelaksanaannya.

Tapak keluasan bangunan baharu itu berkeluasan 15 ekar dengan kos tidak kurang 20 juta.

Ahli Parlimen Mukah, Dato Sri Muhammad Leo Toyad berkata bangunan baharu SK Kampung Tellian sebenarnya masih dalam ‘rolling plan’ atau menunggu giliran untuk pelaksanaannya.

“Sekarang ini, kita hanya menunggu giliran untuk pelaksanaan bangunan baharu sekolah tersebut dan penduduk perlu bersabar menunggu pelaksanaannya.

“Selain itu, pampasan telah pun dibayar kepada pemilik tanah bagi kawasan yang terlibat untuk mendirikan bangunan baharu tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah-Tamah Krismas 2013 dan Tahun Baharu 2014, di sini semalam.

Turut hadir Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah, Dr Osman Rafaiee, Wakil Residen Bahagian Mukah, Amirul Abdullah serta yang lain.

Leo turut berkata, masyarakat perlu sentiasa mengamalkan semangat kerjasama dan mengekalkan perpaduan dan keharmonian yang dikecapi dan terus berfikiran positif untuk terus maju ke hadapan.

“Masyarakat seharusnya bersama-sama mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

“Jika kita terus bersatu padu mengatasi masalah yang timbul dengan kekuatan masyarakat boleh menjadikan kita sebuah masyarakat yang terus maju ke hadapan dengan persefahaman yang baik,” katanya.

Advertisement