Anda di sini

Aktiviti sukan untuk kesihatan

Advertisement

SENAMROBIK: Dr Annuar bersama Sim melakukan senamrobik bersama-sama peserta Program ‘Walk-A-Mile’ di Dataran Bandar Sibu, semalam.

SIBU: Program ‘Walk-A-Mile’ mengabungkan ak­tiviti senamrobik, berjalan kaki dan pemeriksaan kesi­hatan akan dijalankan dua kali sebulan jika mendapat sambutan baik daripada masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee berkata sebagai permulaan program itu hanya dijalankan sekali sebulan iaitu pada setiap hari Sabtu minggu kedua.

“Program ini bertujuan untuk bersama-sama dengan masyarakat dan akan di­jalankan setiap minggu kedua hari Sabtu.

“Jika mendapat sambutan, kita akan buat dua kali sebulan,” katanya ditemui pada Program ‘Walk-A-Mile’ di Dataran Bandar Sibu, semalam.

Program julung kali ini disertai kira-kira 500 peserta dan dianjurkan oleh Pejabat Residen Bahagian Sibu serta Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sibu.

Hadir sama Residen Ba­hagian Sibu, Sim Kok Kee.

Menurut Dr Annuar, pro­gram merupakan satu contoh aktiviti bersukan untuk kesi­hatan yang tidak memerlukan kemudahan sukan yang serba canggih.

Katanya, ketiga-tiga aktiviti yang dijalankan semasa pro­gram sudah mencukupi bagi masyarakat menjaga kesihatan mereka.

Program dimulakan den­gan aktiviti senamrobik, di­ikuti berjalan kaki sejauh satu batu atau 3,000 langkah dan pemeriksaan kesihatan.

“Kita juga berhasrat men­ingkatkan aktiviti berjalan kaki ini sehingga 10,000 lang­kah pada masa hadapan,” jelas Dr Annuar sambil menambah program akan diteruskan sepanjang masa.

Beliau juga memberitahu, program kemungkinan akan diubah ke beberapa lokasi lain di sekitar bandar Sibu untuk menarik lebih ramai penyer­taan daripada masyarakat.

“Ini adalah untuk meny­edarkan masyarakat betapa pentingnya penjagaan kesi­hatan dan pentingnya kita melakukan senaman setiap hari atau sekurang-kurang­nya tiga kali seminggu.

“Program ini juga memberi peluang kepada masyarakat untuk menjalani pemerik­saan kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis dan berat badan,” katanya.

 

Advertisement