Anda di sini

Remaja lepasan SPM maut dalam kemalangan

Advertisement

KUANTAN: Seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut setelah motosikal yang ditunggang hilang kawalan selepas bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum melanggar tiang elektrik dan sebuah van di Jalan Kampung Tanjung Punai di sini tengah malam, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Eryawan Mohd Rawi, 18, cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi penunggang motosikal yang belum diketahui identitinya dilaporkan parah.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata dalam kejadian jam 12.05 malam itu, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Tanjung Punai ke Jalan Utama Kuantan-Gambang dekat Tanah Putih di sini.

“Sampai di tempat kejadian, kedua-dua motosikal terbabit dipercayai bergesel sesama sendiri sebelum kedua-duanya terbabas ke kanan jalan lalu merempuh tiang elektrik dan sebuah van jenis Nissan Vannate yang diletak di tepi jalan di situ,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Bernama

Advertisement