Anda di sini

Polis PP selamatkan 35 lelaki Bangladesh

Advertisement

BUTTERWORTH: Tiga puluh lima lelaki Bangladesh yang diseludup dari negara jiran dipercayai untuk diperdagangkan, berjaya diselamatkan selepas seminggu mereka dikurung di sebuah rumah di Taman Selayang, Sungai Puyu di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata kesemua mereka yang berusia 20 hingga 45 tahun itu diselamatkan selepas polis menyerbu rumah berkenaan pada jam 3 petang.

“Hasil maklumat awam dan risikan, kami menyerbu rumah itu dan berjaya  menyelamatkan 35 lelaki Bangladesh yang dalam keadaan tidak bermaya serta tidak terurus.

“Berdasarkan keterangan awal, mereka mendakwa dibawa ke negeri ini menerusi  sempadan Malaysia dan Thailand di Padang Besar, Perlis dan telah diserahkan kepada seorang lelaki dipercayai anggota sindiket sebelum dibawa ke sebuah rumah di Taman Selayang itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut menahan tujuh orang termasuk dua wanita rakyat Myanmar dipercayai anggota sindiket permerdagangan orang itu.

Mazlan berkata siasatan juga mendapati 35 lelaki itu telah dikurung di rumah yang disewa sindiket berkenaan sejak seminggu lepas dan sedang menunggu untuk dijual kepada majikan.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas wang tunai, telefon bimbit dan buku  catatan kegiatan penyeludupan migran. Usaha mengesan dalang dan anggota sindiket itu giat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata tujuh rakyat Myanmar yang ditahan itu direman bagi membantu  siasatan menurut Seksyen 26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 manakala semua lelaki Bangladesh itu disiasat menurut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.

“Kami juga sedang siasat sama ada sindiket itu mempunyai kaitan dengan beberapa kes pemerdagangan warga asing di negeri ini termasuk yang terbaru kes di Simpang Ampat, Nibong Tebal Sabtu lepas,” katanya.

Sabtu lepas, Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan 10 lelaki termasuk dua kanak-kanak Myanmar yang diseludup masuk oleh satu sindiket yang menjadikan mereka tebusan sebelum mendapatkan wang daripada keluarga mereka.

Kesemua mereka yang berusia lapan hingga 22 tahun itu diselamatkan polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Simpang Ampat, Nibong Tebal dekat sini kira-kira jam 8 malam. — Bernama

Advertisement