Anda di sini

Pelbagai projek kerajaan demi rakyat

Advertisement

DEBAK: Pelbagai projek yang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah demi kepentingan rakyat, kata Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam.

Menurut beliau, langkah diambil bukan sahaja mengutamakan perancangan pembangunan untuk jangka masa pendek, malah pembangunan jangka masa panjang yang menjadi objektif dan keutamaan.

Katanya, rakyat negeri ini diharap terus memberi kerjasama dalam usaha kerajaan menyediakan pembangunan infrastruktur asas untuk keperluan bersama.

Dalam usaha itu, ujarnya, rakyat disarankan agar tidak menghalang kerajaan melaksanakan pembangunan demi kebaikan mereka.

“Pembangunan projek jalan raya dalam perancangan bakal memberi kemudahan untuk masyarakat setempat berurusan dengan cepat, selain dapat dimanfaatkan sebagai medium perhubungan dengan perkampungan lain.

“Apa yang penting perancangan kita membangunkan ekonomi penduduk setempat dengan pembukaan dan membangunkan tanah masing-masing untuk pertanian seperti kelapa sawit dan tanaman kontan seterusnya mengangkut hasil pertanian untuk dipasarkan.

“Bagi yang menanam kelapa sawit, kemudahan mengangkut hasil ladang dan dijual ke kilang-kilang dengan lebih cepat,” kata beliau pada Program ‘Walkabout’ dan Sesi Dialog Bersama Penduduk mengenai pembinaan jalan dari Kampung Supa ke Kampung Medang di sini, semalam.

Razi berkata, setiap projek yang dijalankan kerajaan dalam usaha memberi pembangunan yang dirancang sering menjadi sasaran pihak tertentu sengaja meracuni pemikiran rakyat demi kepentingan politik mereka.

“Oleh itu, rakyat harus berhati-hati dalam menilai hasutan yang dilemparkan oleh pihak yang sengaja menggagalkan setiap pembangunan di kawasan ini dan menjejaskan persiapan yang dirancang.

“Kita khuatir ada penduduk yang menghalang pemaju untuk membina jalan yang sedang dalam perancangan dan jalan benteng sedia ada akan ditambah baik untuk dijadikan jalan raya yang lebih baik dan sempurna.

“Kalau ada masalah berkaitan dengan penggunaan jalan tersebut harus diselesaikan dengan baik dan muafakat, bukannya dengan menghalang pemaju yang menjalankan tugas membina jalan tersebut. Hal ini boleh melambatkan projek dan tindakan itu juga boleh merugikan semua pihak,” tegasnya.

Dalam pada itu, Razi turut menjelaskan bahawa melalui perancangan lima tahunnya, Saribas bakal mempunyai 100 peratus kemudahan jalan raya.

Jelasnya, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mempunyai visi jauh ke hadapan melihat anak-anak Sarawak dan negeri ini terus maju dengan polisi yang mantap di bawah dasar politik pembangunan.

“Kini, kita sudah memasuki gelombang kedua politik pembangunan. Pelbagai pelan atau pembangunan dilaksanakan seperti projek SCORE, pertumbuhan pusat bandar atau servis baharu, pertanian dan perladangan serta projek jalan  luar bandar yang terus digiatkan.

“Justeru, saya minta penduduk kampung di sini bersama-sama menjayakan pembangunan agar kawasan Saribas tidak ketinggalan,” tambahnya.

Turut hadir Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Betong, Penyelia Kanan Kemas Parlimen Betong Norkusani Bujang, Pegawai JASA Saribas Mohd Firdaus Mohd Ali, Ketua Penerangan PBB Saribas Piee Alwi, Ketua Kampung Medang Sapiee Lugom, Ketua Ranting Kampung Hulu Supa Fauzi Razit.

Advertisement