Anda di sini

Naikkan taraf kemudahan di Siburan

Advertisement

KUCHING: Peningkatan dari sebuah daerah kecil kepada bandar menjadikan Siburan sebuah pusat perniagaan yang sibuk dan memerlukan kemudahan awam di kawasan itu dinaik taraf dengan segera.

Temenggung Bidayuh Austin Dimin menyarankan demikian ekoran kebanjiran penduduk kampung dari kawasan sekitar membeli barang keperluan tetapi tidak menjalankan tanggungjawab sosial apabila meletakkan kendera-an sesuka hati.

“Kita meminta agar Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menyediakan lebih banyak kawasan parkir untuk orang awam meletakkan kenderaan mereka agar mereka tidak meletakkannya sembarangan,” kata-nya ketika dihubungi semalam.

Tambah Austin, perkara itu telahpun berlanjutan sejak sekian lama dan situasi menjadi semakin parah ketika Pasar Minggu iaitu pada setiap hari Khamis.

Keadaan sesak itu menyukarkan laluan trafik melalui kawasan ber-kenaan yang turut dikelilingi oleh bangunan komersial menyebabkan jalan-jalan menjadi lebih sempit, katanya.

“Apabila kawasan daerah kecil menjadi bandar, tentulah kemudahan seperti jalan raya, kawasan parkir dan tandas awam perlu dinaik taraf. Waktu paling sukar untuk melalui kawasan bandar Siburan ialah setiap hari kecuali pada hari Isnin kerana kebanyakan kedai tutup.

“Lagipun, kawasan Siburan agak sibuk dan sempit bagi menampung kebanjiran orang ramai yang datang dari kawasan perkampungan berhampiran untuk membeli barang keperluan harian mereka,” jelasnya.

Beliau turut memohon kerjasama daripada pihak polis peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan agar menjalankan rondaan lebih kerap ke kawasan yang sering sesak itu.

Austin pada masa yang sama juga memohon agar pihak MPP menyediakan papan tanda bagi kemudahan tandas awam di kawasan itu.

“Memang tidak dapat dinafikan tandas telah dinaik taraf tetapi pihak MPP perlu menyediakan papan tanda menunjukkan terdapatnya tandas awam yang terletak di Siburan.

“Ramai di kalangan penduduk pergi ke pusat beli-belah Eastern Mall untuk membuang air kecil dan besar kerana tidak tahu adanya tandas awam di sini,” katanya lagi.

Begitu juga jalan-jalan di sekitar Siburan semakin baik, tetapi sistem perparitan kurang sempurna menyebabkan Kampung Sinjok sering dilanda banjir kilat.

“Tidak perlu sesiapa menuding jari kepada mana-mana pihak, jalan Mambong-Sikog juga perlu kajian terperinci agar penduduk sekitarnya tidak lagi terjejas akibat banjir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Pauzi Bujang menasihati orang ramai agar memupuk semangat kekitaan dan bertanggungjawab kepada diri sendiri dan orang lain.

“Jika polis buat rondaan, hanya pada masa itu sahaja mereka akan mengalih dan meletakkan kendera-an mereka di tempat yang betul, selepas rondaan mereka akan meletakkan semula kenderaan mereka di sana,” katanya.

Beliau menggesa agar masyarakat Siburan mempunyai kesedaran sivik dan tidak mementingkan diri demi keselamatan di jalan raya sepanjang masa.

Advertisement