Anda di sini

Kepimpinan baharu MCA Kedah atur inisiatif dekati pengundi Cina

Advertisement

ALOR SETAR: Kepimpinan baharu MCA Kedah merancang pelbagai inisiatif untuk mendekati pengundi Cina di negeri ini bagi menarik semula sokongan dan kepercayaan mereka terhadap parti dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya Datuk Lee Chee Leong berkata usaha itu perlu dilakukan selepas parti itu gagal mendapat sokongan daripada kaum itu pada pilihan raya umum yang lepas.

“Kita akan mendekati persatuan-persatuan Cina dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mengadakan pelbagai program untuk mereka agar hubungan mereka dengan MCA lebih rapat,” katanya kepada pemberita di Pejabat Perhubungan MCA Kedah di sini semalam.

Naib Presiden MCA pusat itu berkata pelbagai inisiatif yang dirancang oleh jawatankuasa baharu tersebut diharap dapat menarik sokongan pelbagai pihak dalam usaha transformasi parti itu.

Beliau berkata setakat ini anggota parti itu di negeri ini kira-kira 50,000 orang.

Lee dilantik sebagai Pengerusi MCA Kedah oleh Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkuat kuasa 2 Jan lepas bagi menggantikan pengerusi terdahulu Datuk Chong Itt Chew.

Lee melantik dua timbalan pengerusi iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun Dr Leong Yong Kong dan Ketua MCA Bahagian Pokok Sena Goh Chin Cheung berkuat kuasa semalam.

Jawatan naib pengerusi pula diisi Ketua Bahagian Baling Woon Ching Fatt, Adun Kulim Chua Thiong Gee yang juga Ketua Bahagian Kulim/ Bandar Baharu dan Ketua Bahagian Padang Serai Chin Tung Leong. — Bernama

Advertisement