Anda di sini

Keluaran melebihi permintaan faktor ketidakseragaman harga telur ayam

Advertisement

SIBU: Pengeluaran melebihi permintaan menjadi antara faktor ketidakseragaman harga telur ayam di pasaran sejak Oktober tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Penternak Sibu, Ling Chi Kiong berkata situasi itu menyebabkan kerugian kepada pengeluar telur ayam di sini.

“Kos pengeluaran telur Gred C sepapan yang mengandungi 30 biji telur sekarang secara purata RM8.40.

“Bagaimanapun, ada penternak menjual sepapan dengan harga serendah RM6.99 hingga RM7.40,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, jika harga ditawarkan di pasaran tidak seragam boleh menyebabkan penternak mengalami kerugian.

“Kita mengalami pengurangan permintaan telur sejak Oktober hingga Disember tahun lalu.

“Oleh itu, diharapkan semua pengeluar telur ayam dapat menyeragamkan harga telur dalam usaha mengurangkan risiko kerugian,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai permintaan telur menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Ling berkata, akan meningkat mengikut permintaan.

“Bagaimanapun, permintaan yang dijangka meningkat turut  menyebabkan lebihan bekalan di pasaran,” katanya.

Ling memberitahu, menggunakan bahan mentah bagi makanan ayam seperti jagung dari luar negara, mereka masih mengeluarkan telur ayam dengan harga yang murah berbanding negara lain.

Advertisement