Anda di sini

Empat bot di jeti terbakar, menyebabkan12 nelayan hilang punca pendapatan

Advertisement

DUNGUN: Lebih 12 nelayan hilang punca pendapatan apabila bot mereka yang diletakkan di Jeti Kampung Sungai Buaya, di sini hangus dijilat api, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu melibatkan empat bot nelayan Kelas A serta peralatan menangkap ikan.

Seorang pemilik bot Azman Mohd Nor, 45, berkata beliau dimaklumkan oleh rakannya mengenai kejadian itu sebelum segera bergegas ke jeti dan melihat api marak membakar badan bot miliknya serta telah merebak ke bot lain.

“Ketika itu saya lihat sebuah bot lagi milik kawan telah musnah sepenuhnya sebab angin kuat menyebabkan api merebak begitu cepat ke bot-bot yang letak bersebelahan.

“Kejadian berlaku memang pantas dan api menjulang tinggi. Saya gagal menyelamatkan segala peralatan menangkap ikan termasuklah alat pengesan (GPS) serta enjin bot,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Azman berkata kejadian itu menyebabkan beliau mengalami kerugian kira-kira RM12,000 selain hilang mata pencarian.

Pegawai Pusat Gerakan dan Operasi Bomba dan Penyelamat Terengganu Abdullah Zawawi Mohamad berkata kebakaran itu mengakibatkan sebuah bot musnah sepenuhnya manakala tiga lagi 90 peratus musnah.

Ketika bomba tiba, api marak membakar bot berkenaan, katanya dan memberitahu dua jentera dengan 10 anggota berjaya mengawal api daripada terus merebak ke bot-bot lain.

Jumlah kerugian dan punca sebenar kejadian masih disiasat. — Bernama

Advertisement