Anda di sini

Cari alternatif jana sumber

Advertisement

KUCHING: Kekangan kewangan bukan alasan bagi persatuan dan kelab tidak menjalankan program yang memberi manfaat kepada masyarakat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau berkata, ini kerana pelbagai inisiatif boleh digunakan untuk menjana kewangan seperti menjalinkan kerjasama pintar dengan agensi kerajaan atau menjalankan kutipan dana termasuk menjual barangan dan produk.

“Tiada duit bukan alasan untuk persatuan dan kelab tidak mampu melaksanakan program.

“Kita patut mencari alternatif untuk menjana kewangan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian dana pentadbiran dan aktiviti kepada persatuan dan kelab di sini, semalam.

Menurutnya, setiap persatuan dan kelab perlu melaksanakan sekurang-kurang satu program setiap tahun.

Sehubungan itu, katanya, setiap dana yang diterima daripada wakil rakyat perlu digunakan dengan sebaik mungkin agar program yang dirancang dapat direalisasikan.

Beliau berkata, kepimpinan persatuan dan kelab termasuk pemimpin masyarakat mempunyai tugas yang berat terutama untuk memastikan badan yang diwakilinya tidak pincang.

“Sebagai contoh, sekiranya ketua kampung tidak dapat memimpin dengan baik maka kampung yang diwakilinya akan pincang.

“Ini sebabnya kenapa setiap persatuan dan kelab perlu mempunyai pemimpin yang berwibawa,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan dana kepada 31 kelab dan persatuan dalam kawasan DUN Pantai Damai dengan jumlah RM103,000.

Dalam perkembangan lain, Dr Abdul Rahman mengesahkan masjid baharu di Kampung Santubong sudah boleh digunakan untuk beribadah dan aktiviti keagamaan lain.

Beliau berkata, masjid yang menelan belanja kira-kira RM3.5 juta itu disiapkan dalam tempoh dua tahun dan mampu menempatkan jemaah lebih ramai berbanding masjid sedia ada.

Malah, menurutnya, ruang parkir yang disediakan di kawasan masjid itu juga besar selain boleh digunakan untuk sebarang aktiviti keramaian.

“Masjid ini siap sepenuhnya dan sudah boleh digunakan pada bila-bila masa,” katanya.

Dr Abdul Rahman berkata, masjid baharu itu akan menjadi mercu tanda dan simbol perpaduan masyarakat Islam di kampung terbabit.

“Konsep binaan masjid ini amat menarik dan moden,” ujarnya.

Advertisement