Anda di sini

Bekas ahli dinasihat bertenang, sabar

Advertisement

SABAR: Ting (empat kiri) ditemani ahli-ahli SUPP Miri mengulas tentang pembatalan pendaftaran SUPP Piasau semalam.

MIRI: Lebih 3,600 ahli Parti Rakyat Bersatu (SUPP) Piasau diminta bertenang dan bersabar tentang pembatalan pendaftaran cawangan mereka oleh Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 6 Januari lalu.

Bekas pengerusinya Datuk Sebastian Ting berkata, status keahlian mereka masih sah kerana didaftarkan terus ke peringkat pusat parti itu.

Beliau memberitahu, SUPP Piasau akan mengemukakan rayuan susulan kepada ROS  lebih kurang sebulan ini untuk mempertahankan cawangan berusia 42 tahun itu.

“Mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966, SUPP Miri Cawangan Piasau mempunyai tempoh 30 hari dari tarikh 6 Januari untuk merayu terhadap keputusan ROS tentang pembatalan pendaftaran SUPP Piasau kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. SUPP Piasau akan mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari,” jelas beliau.

Bercakap kepada pemberita semalam, Ting  terkejut mendengar berita sedih itu yang disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung SUPP, Dr Sim Kui Hian kelmarin.

Selain SUPP Piasau, ROS turut membatalkan pendaftaran SUPP Cawangan Bekenu yang dipengerusikan oleh Presiden SUPP, Tan Sri Peter Chin yang juga berkuat kuasa 6 Januari.

Justeru, Ting meminta bekas ahli agar menguatkan semangat tentang keputusan pembatalan pendaftaran cawangan mereka.

“Saya, sebagai mewakili bekas SUPP Cawangan Piasau memohon maaf kepada semua bekas ahli dan penduduk Miri terhadap pembatalan pendaftaran cawangan kita oleh ROS,” jelasnya.

Beliau turut berterima kasih atas sokongan dan setia kawan bekas ahli SUPP Piasau serta penduduk Miri kepada parti selama ini.

 

Advertisement